BACAAN QURAN

Listen to Quran

Wednesday 26 June 2013

PABILA KECEWA DALAM CINTA

‘FRUST’ DALAM BERCINTA


Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata pujangga,“sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi tidak berbalas.” Aneh sekali derita sakit putus cinta ini… benci, tapi rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.

Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah paling kita cintai.  Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:

“Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika.”

Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah ada yang sanggup bunuh diri. Benarlah kata orang: “Dunia akan terkejut mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih yang dicintainya.” Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai sekali.

(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali keadaan orang yang ‘frust’ dalam bercinta. Inilah salah satu akibat cinta nafsu. Jika kita berani ‘memperkosa’ kesucian cinta, awas ia akan menuntut balas dengan cara yang paling kejam.

Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis. Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?

Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia, akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang ‘syok’ bercinta. Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah dia tidak pernah kita kenali!).

Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah… kita tetap ada Allah. Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka, walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.

Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al Baqarah,  ” Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui.”

Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita. Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.

Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita terhenyak lalu berkata, “mengapa aku terpaksa menanggung derita ini.”Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter… ter… segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia. Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita berkata, “ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?”

Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina (gagak di rimba) berbanding kekasihnya yang pergi (merak kayangan). Sedangkan jika masih ada iman bersemi di dada… kita masih boleh berfikir dan berhenti seketika, lalu berkata, “Tuhan ada!” Pujuklah hati dengan apa yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain. Dan yang terbaik untuk kita pasti datang sebagai gantinya!

Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang. Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan manusia supaya ‘terpaksa’ bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta. Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.

Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa cinta Allah itulah yang sejati.

Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang filosof Barat, Hendrick berkata, “mencintai seorang yang tidak mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai adalah berbahaya.” Cubalah fikirkan… siapa yang paling mencintai kita? Siapakah yang kita sia-siakan selama ini? Fikir…

Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir… barangkali putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, “Allah menjemput aku untuk mencintai-Nya!” Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frust cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih, bukan tersisih!

Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang bahagia bersama ‘orang’ yang mereka tidak sangka apalagi harapkan sebelumnya. “Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu.” “Allah ganti yang lebih baik.” “Tak sangka, kami akan serasi begini.” Begitulah suara-suara ‘testimonial’ daripada orang yang frust bercinta tetapi akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang lebih baik (untuk mereka).

Ya, pada waktu ‘terkena’ dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!

Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai ‘mata rantai’ yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya bersambung kepada cinta Allah.

Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah ‘sekolah’ yang besar. Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk difahami dan dihayati sepanjang hayat.

Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu pelajaran juga. Kita perlu faham ‘pelajaran’ yang dibawa bersamanya. Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan datang. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu. Kemungkinan besar kita akan ‘frust’ berkali-kali.

Semasa kita di peringkat remaja ada ‘pelajaran-pelajaran’ tertentu yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh lebih mencabar. Apakah ‘pelajaran-pelajaran’ itu dan apakah cara sebaik-baiknya mempelajarinya? Inilah salah satu persoalan penting yang mesti dijawab oleh setiap remaja. Jangan sampai pelajaran yang sepatutnya ‘selesai’ di alam remaja terpaksa dibawa ke peringkat tinggi. Kalau begitu rugilah, sama seperti siswa atau siswi yang terpaksa ‘refer’  atau ‘repeat’ akibat gagal dalam peperiksaan mereka.

Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I’m not a girl but not yet a women)  Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan cepat dan tidak menentu.

Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil – tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan macam-macam lagi.  Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dengan pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan membawa pelbagai kesan. Salah satunya frust dalam bercinta.

Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada ‘pelajaran’ yang dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja mesti dapat membaca ‘mesej’ yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.

Jadi langkah pertama supaya remaja‘lulus’ dalam pelajaran mereka ialah  mereka perlu akur bahawa setiap yang berlaku di alam remaja ada unsur pengajaran dan didikan buat mereka. Frust cinta hakikatnya adalah ‘guru’ yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik, walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.

Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri, “apakah pelajaran yang disebalik semua itu.” Pandanglah semua yang berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah.

Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Tuhan. Ahli sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui didikan terus dari Allah (mehanah) maka manusia tersebut tidak akan dapat dididik lagi oleh sebarang manusia lain. Inilah yang ditegaskan oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku karangannya.

Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah ‘guru’ yang hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan, itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu mengharap. Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita hakikatnya sedang belajar dan dididik.

Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.

Apakah sebenarnya yang menjadi ‘tujuan’ di sebalik pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? Tujuan utamanya ialah untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru   hidup adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak berubah dalam hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati ‘kekasih hati’ agar dia sentiasa setia.

Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain hatta kekasih kita mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai pernah berkata, “we cannot  direct the wind but we can adjust our sail.” Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir  yang menimpa tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.

Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri. Dia seolah-olah ingin jadi ‘Tuhan”. Dia ingin semua keinginannya tercapai. Mustahil, manusia hakikatnya lemah. Dia tidak boleh mengawal hati kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat, mencintai seseorang bukanlah bererti mengatur segala langkah dan perbuatannya demi cinta. Kita tak akan mampu!

Ringkasnya, ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna remaja gagal dalam ‘sekolah’ kehidupan mereka. Frust cinta, hakikatnya adalah ujian yang ingin merubah kita untuk mula mencintai Allah.

Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk. Itu adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu, ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda hadapi… maka belajarlah secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan… Nanti anda akan mencapai kebaikan secara berterusan pula. Jangan sekali-kali menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.

Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa remaja lagi, supaya anda tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia tua. Kata pepatah, “belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua bagai melukis di atas air.” Teringat kata Dale Carnargie dalam bukunya Stop Worrying and start living, “jangan gergaji abuk kayu!” Dan itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!

Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan sahaja.

Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup – ada masa senang, ada masa susah. Justeru dalam kehidupan ini, kita tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara yang menggembirakan.

Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati… ya, selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila datang kesenangan, kita tetap tidak alpa… ya, selepas ini akan datang kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu pergiliran antara senang dan susah yang berterusan…

Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan ‘cuaca’ kehidupan itu tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Apabila kita frust dalam bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah, kerana di situlah keindahan hidup!

Sematkan di hati kata pujangga ini:“Sesungguhnya orang yang berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua…cinta sejati yang ditunggunya!”
COPY N PASTE

MASIH ADAKAH CINTA?

 MASIH ADAKAH CINTA ?

Kata orang yang arif, “jadilah orang yang baik, nanti kebaikan akan datang kepada kita.”  Segala kebaikan akan datang kepada kita seperti besi yang tertarik kepada magnet. Sebab itu sering diperkatakan orang, jika kita murah dengan senyuman, kita akan murah rezeki.

Lihat sahaja peniaga yang ramah mesra dan sentiasa tersenyum melayan pelanggan, kedainya akan sering dikunjungi, produknya akan laku, jualannya sentiasa laris.

Kita tidak perlu tahu mekanisme saintifik tentang aura atau gelombang elektromagnetik untuk memahami semua ini.  Atau arif dengan tafsir seribu firman atau al hadis untuk mengamalkannya. Hanya jadilah orang yang baik dan berilah kebaikan.  Insya-Allah, kita akan mendapat kebaikan. Allah itu Maha Baik, DIA tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang baik. Setiap saat dan ketika tanya diri kita, apakah hari ini, ketika ini aku sedang menjadi atau sedang berusaha menjadi orang baik yang sentiasa ingin memberi kebaikan…

Tidak kira sejahat mana orang yang kita hadapi atau seburuk mana keadaan yang sedang kita alami, tetapi jangan sekali-kali korbankan ‘kebaikan’ diri kita. Biar kalah, tetapi jangan mengalah dengan kejahatan. Jangan ambil kejahatan menjadi ‘guru’ kita. Maksudnya, cubalah beri kebaikan walaupun sering dibalas dengan kejahatan. Tetapi sekiranya kita kecewa, dan mula membalas kejahatan itu dengan kejahatan yang sama atau yang melebihinya … takziah, kerana pada waktu itu kejahatan telah menjadi guru dalam kehidupan kita.

Dalam rumah tangga pun begitu juga. Jadilah pasangan yang baik. Insya-Allah kita akan menarik segala kebaikan untuk diri kita dan seluruh ahli keluarga. Baik tutur kata, manis senyuman dan mudah memberi kebaikan, itulah nanti akan menawan hati pasangan kita. Itulah hukum daya tarikan – law of attraction – yang kebelakangan ini kerap diperbincangkan dalam program latihan dan motivasi. Apakah yang dimaksudkan dengan law of attraction itu?

Pada diri manusia ada daya tarikan yang saling berhubung dengan daya tarikan manusia lain. Maksudnya, jika kita positif dan orang lain juga positif, maka kita akan mudah tertarik dan berhubung dengann harmoni. Pepatah lama mengatakan, burung yang sama bulu kepak dan warnanya akan terbang sekawan. Keceriaan kita akan menarik orang yang ceria untuk bersama kita. Keceriaan itu mudah ‘berjangkit’. Orang yang ceria sering dilingkungi oleh individu, situasi dan keadaan yang ceria juga.

Suasana yang semacam itulah yang akan membahagiakan cinta dalam rumah tangga. Bila kita ceria, fikiran, tindakan, perasaan dan kata-kata kita juga akan turut ceria. Percayakah anda kalau dikatakan untuk mudah belajar, bekerja dan melakukan apa jua aktiviti dengan lebih baik dan  berkualiti maka keceriaan itulah yang menjadi syaratnya? Ada hormon endroomorphin yang akan dirembeskan dalam tubuh orang yang ceria. Hormon yang akan memberi rasa tenang, seronok dan gembira.  Inilah yang ditegaskan oleh pakar-pakar NLP.

Sebaliknya, orang yang negatif – asyik marah-marah dan merungut, hormon kortisol pula yang akan akan dirembeskan. Hormon ini akan menurunkan darjah keceriaan dan individu itu akan menjadi pemurung, pemarah dan perungus. Orang yang asyik marah-marah, merungut, mengeluh dan membebel akan ‘meletihkan’ pasangannya Ingatlah tidak ada siapapun suka orang yang pemurung atau perampus.

Dia akan menghantar ‘gelombang’ yang negatif dan sebagai balasannya dia juga.akan menerima reaksi yang negatif. Hukum daya tarikan pun berlaku tetapi kali ini ke arah yang sebaliknya. Gelombang negatif ini akan menghakiskan rasa ceria dan gembira dan lambat laun akan turut meranapkan perasaan cinta. Ingat, cinta itu umpama pohon, jika tidak dibajai ia akan layu dan mungkin akan mati. Salah satu baja untuk cinta ialah memberi perasaan gembira kepada orang yang kita cintai.

Cinta tidak dapat diraih dengan ugutan dan ancaman. Ia soal hati yang memberi dan menerima dengan rela. Cinta tidak boleh dipaksa. Gelombang cinta bergerak dalam susunan rasa indah bagaikan satu simponi pada satu gubahan ‘muzik’ yang sinergi dan harmoni. Mainkan muzik cinta itu… ia akan datang dengan senyuman, sentuhan dan pandangan mata yang penuh indah dan berwarna-warni. Sungguh indah!

Bila suami hendak pulang ke rumah, sediakanlah set minda (mind set) yang betul sebelum masuk ke rumah lagi. Niatkan dalam hati ingin menceriakan hati isteri yang di rumah. Betapa besar sekalipun masalah kita di permusafiran atau di tempat kerja, leraikanlah dahulu. Jangan hanya memikirkan masalahnya sahaja yang besar, masalah isteri di rumah pun adakalanya lebih besar dan mencabar daripada masalah suami di luar rumah.

Begitu juga isteri di rumah, menjelang kepulangan suami, tenangkan hati, katakana kepada diri sendiri, “suami ku akan pulang. Aku akan menceriakan kepulangannya dengan memahami, simpati dan empati terhadap segala masalahnya.” Orang yang hanya merasakan bahawa masalahnya sahaja yang besar, peranannya sahaja yang penting dan bebannya sahaja yang berat… sebenarnya adalah orang yang ego.

Aneh sekali pengaturan Allah – kadangkala, cara menyelesaikan masalah kita ialah dengan menyelesaikan masalah orang lain. Kaedah meringankan beban sendiri ialah dengan berkongsi menanggung beban orang lain. Dan kerap kali doa kita akan dimakbulkan bila kita mendoakan orang lain. Jangan nafikan hakikat ini. Sebaliknya, praktikanlah. Lakukan kepada orang yang terhampir dengan kita, siapa lagi kalau bukan isteri atau suami kita?

Sayangnya, set minda yang betul kekadang tercalar oleh sikap curiga. Rasa hati yang simpati dan keinginan memahami dimusnahkan oleh prasangka. Bimbang kalau kebaikan kita dieksploitasi, ketulusan kita dimanupulasi, maka kita enggan menghantar gelombang yang positif. Syaitan mencelah dengan tiupan kata-kata, “ engkau ditipu. Kejujuranmu tidak akan dihargai. Apa gunanya menabur budi kalau nanti engkau akan dipersia?”

Ada juga yang tidak sabar untuk mendapat hasil atau balasan yang cepat. Mereka yang hanya menyiram tidak sampai semusim tetapi mengharap dapat memetik buah dengan segera. Lupakah kita bahawa membina mengambil masa, meruntuh sekelip mata? Kalau hari ini kita menanam benih, kita sirami dan bajainya… apa yang kita akan dapat pada hari esok? Ya, hanya benih yang basah. Bukan bunga, apatah lagi buah. Maka begitulah menanam pohon cinta, salah sekali kalau kita mengharap bunga atau buahnya akan terhasil dengan segera. Berilah masa, berilah peluang dan bukalah ruang untuk pasanganmu berubah.

Petanda minda yang positif dan betul banyak sekali. Cukup kalau di sini kalau dinyatakan hanya dua. Dua yang sangat penting. Sematkan dalam hati dan praktikkanlah dengan hati, lisan dan perbuatan. Pertama, orang yang positif akan dapat melihat sisi yang positif pada diri pasangannya. Who you are determine how you see – siapa diri kamu menentukan bagaimana kamu melihat. Ya, isteri yang positif akan dapat melihat ciri, sifat dan aksi positif pada diri suaminya dan begitulah juga sebaliknya.

Masakan tidak ada langsung sisi positif pada pasangan kita? Jika demikian, mengapa kita memilihnya sebagai pasangan hidup ketika bernikah dahulu? Jadi, cuba positifkan minda kita dahulu nescaya kita akan nampak kebaikan pada pasangan kita. Ya, keburukannya ada, tetapi kebaikannya juga ada. Jadi apa salahnya kalau kita tumpu, hargai, pupuk dan bajai kebaikan itu agar dapat bertahan dan meningkat?

Manusia suka dihargai, disokong dan dianggap wira. Lalu jadikanlah suami kita sebagai wira. Sokong impiannya, bantu cita-citanya dan pulihkan kekecewaannya. Jadikanlah isteri kita sabagai wirawati yang didorong cita-cita, impian dan harapannya. Ketika suami pulang dengan wajah lesu, bimbang dan gentar dengan tribulasi di tempat kerjanya, isteri di rumah tetap menjadi penyokong yang setia. Tidak mengapa jika tidak punya buah fikiran, cukup hanya dengan kata-kata belaian dan sokongan. Buktikan dengan bahawa tubuh mu, bahawa kau adalah benteng dalam hidupnya!

Isteri di rumah kekadang bukan mengharapkan layanan bagaikan ratu atau permaisuri tetapi cukup sekadar suaminya mendengar dengan penuh penghayatan dan memberi penghargaan yang sarat dengan kejujuran. Mata itu jendela hati, maka pandanglah wajah isteri dengan rasa sayang yang tidak berbelah bagi, insya-Allah, pandangan itu akan meresap ke dalam hati menjadi penawar yang sangat mujarab pada keletihan, kelesuan dan kejemuan memikul tugas yang sama sepanjang hari.

Kita hanya boleh memberi kebaikan jika kita menjadi orang yang baik. Jika kita tidak mampu lagi menghulurkan kebaikan, insaflah bahawa kualiti diri kita sebagai insan yang baik sudah boleh dipertikaikan. Walau apapun kesusahan atau beratnya penanggungan kita, itu bukan alasan untuk menggadaikan kualiti hati yang baik. Aku tertekan, aku mesti marah. Aku kecewa, aku mesti mengeluh. Aku letih, aku mesti merintih… Itulah suara-suara hati yang sudah terkena tipuan syaitan dan bujukan nafsu.

Yang kedua, orang yang positif akan fokus kepada penyelesaian bukan pemasalahan. Siapapun akan myudah nampak apa masalahnya, tetapi hanya orang yang positif akan nampak penyuelesaiannya. Orang yang positif akan ‘menyerang’ punca masalah bukan orang yang bermasalah. Maka begitulah isteri yang positif akan memberi penyelesaian kepada masalah-masalah rumah tangga atau masalah yang di hadapi oleh suaminya.

Ummu Salamah pernah memberi buah fikirannya kepada Rasulullah saw dalam menghadapi ‘rasa terkejut’ para sahabat baginda sehingga tidak melakukan apa yang diperintahkan oleh Rasulullah  apabila mereka terhalang untuk mengerjakan haji ke Makkah hingga termetrainya perjanjian Hudaibiyah.

Begitu juga Ummu Sulaim yang menyembunyikan berita kematian anaknya demi memberikan kerehatan kepada suaminya  yang baru pulang dari musafir sehingga dipuji serta didoakan oleh Rasulullah SAW? Mereka berdua itulah antara ribuan isteri solehah  menjadi pemberi tenaga (energy giver) kepada suami dalam menghadapi ujian dalam kehidupan di dalam dan di luar rumah tangga.

Mereka sentiasa fokus kepada penyelesaian dengan mencari apakah jenisnya masalah itu, apa puncanya, apakah alternatif penyelesaiannya? Mereka berani menukar gaya berfikir dan mengubah gelombang perasaan untuk mendapat hasil yang berbeza. Justeru mereka faham jika kita tidak mengubah gaya berfikir dan berani menukar perasaan, masalah yang sama akan menjadi keluhan dan rintihan berulang-ulang tanpa kesudahan!

Bagaimana caranya untuk tetap positif walaupun mungkin reaksi pasangannya anda belum seperti yang diharapkan? Jawabnya, ada dua. Pertama, berilah alasan untuknya. Tidak kira samada alasan itu benar atau tidak tetapi andaikanlah alasan-alasan mengapa mereka berbuat demikian. Jika kita menghulur senyuman, tetapi disambut dengan masam muka… katakan mungkin mereka letih, sakit, tertekan atau sebagainya.

Sekalipun mungkin alasan itu tidak benar, tetapi sekurang-kurangnya kita tidak tersiksa memikirkan perkara-perkara yang negatif. Memikirkan yang negatif itu sahaja sudah satu penderitaan. Jadi ciptalah alasan-alasan untuk mereka dan semaikan sikap sangka baik sentiasa. Jangan kecewa dalam membuat kebaikan. Insya-Allah, Allah akan mengikut sangkaan para hamba-Nya.

Jika benar pasangan kita sudah curang, menipu dan jahat, maka kejahatan serta keburukan itu tidak akan menimpa kita. Sangka baik itu adalah peluang yang kita berikan untuk orang lain berubah dan jika mereka tetap tidak berubah seperti yang kita harapkan, itu tidak akan mengubah kita. Sangka baik itu adalah benteng yang akan menyelamatkan kita daripada penzaliman dan tipudaya orang lain.

Kedua, konsistenlah dalam berdoa. Doakan diri kita sendiri  dan pasangan kita. Doa itu akan ‘menutralkan’ semula  aura negatif yang menyelubungi dan memancar daripada diri kita. Bukankah dengan berdoa kita mengucapkan dan mengharapkan perkara yang baik-baik? Doa bukan sahaja memberi kesan positif dalam perhubungan kita dengan Allah tetapi jua perhubungan diri kita dengan diri kita sendiri. Kita akan selalu memberi ransangan yang positif kepada diri sendiri apabila kita berdoa.

Hukama ada berkata, terhalangnya kita daripada berdoa adalah lebih merbahaya daripada tidak makbulnya doa kita itu. Mengapa? Bila kita tidak berdoa, kita umpama insan negatif yang penuh racun atau ‘toxic’. Kata-kata kita racun, pemikiran kita racun dan perbuatan kita penuh racun. Racun itu bukan sahaja boleh memusnahkan orang lain tetapi ia juga akan memusnahkan diri kita sendiri.

Oleh itu, ayuh… berilah ransangan yang positif. Kuatkan kembali daya tarikan dalam cinta kita. Dan dalam menabur bibit kebaikan, jangan mengharapkan hasil yang segera, jangan dicemari racun prasangka dan paling penting jangan lupa untuk berdoa. Kembalikanlah daya tarikan dalam hubungan cinta. Bukankah simponi cinta itu indah? Tetapi jika tidak ada lagi keindahannya… tanyakanlah kepada diri kita, suami atau isteri kita… apakah itu masih cinta?
COPY N PASTE



PERLUKAH LAGI CINTA

CINTA DI PERTENGAHAN USIA


Ada apa dengan cinta? Untuk apa kita bercinta? Untuk menjawabnya, mari kita fikirkan satu analogi, analogi cinta. Fikirkan tentang sebatang pena. Pena dicipta untuk menulis. Selagi ia digunakan untuk menulis, selagi itulah pena itu berada dalam keadaan selamat dan berguna.

Tetapi sekiranya pena itu digunakan untuk mencucuk, dicampak atau digunakan sebagai pengetuk, maka ia akan rosak. Mengapa?



Pena akan rosak sekiranya ia digunakan bersalahan dengan tujuan ia diciptakan. Ia diciptakan untuk menulis, bukan mengetuk atau mencucuk. Pena yang disalahgunakan akan rosak. Apabila rosak, ia akan dibuang ke dalam tong sampah. Ketika itu ia tidak dinamakan pena lagi. Ia dinamakan sampah!



Begitulah juga cinta. Cinta dicipta oleh Allah untuk dua insan bernama lelaki dan wanita beribadah kepada-Nya. Selagi cinta berlandaskan dan bermatlamatkan ibadah, yakni selaras dengan tujuan ia diciptakan, maka selagi itu cinta itu akan selamat dan bahagia. Sebaliknya, jika cinta itu diarahkan secara bertentangan dengan tujuan ia diciptakan, maka cinta itu akan musnah dan memusnahkan. Keindahan cinta itu akan pudar dan tercalar.



Ketika itu hiduplah kedua-duanya (suami dan isteri) dengan perasaan yang hambar dan tawar. Tanpa cinta, manusia akan “bertukar” sama ada menjadi haiwan ataupun robot yang tidak punya rasa kemanisan lagi – bukan sifat-sifat luarannya, tetapi sifat-sifat dalamannya. Hidup berumah tangga tanpa cinta umpama kapal yang belayar tanpa angin. Keserasiannya mudah retak. Hanya kerana kesalahan yang sedikit, perbalahan dan krisis mudah berlaku. Keadaan rumah tangga pada waktu itu boleh diumpamakan sebagai “hidup segan, mati tak mahu”.



Memang, pada usia empat puluhan dan ke atas (dalam sesetengahnya keadaan lebih awal lagi), suami isteri akan dilanda satu krisis tabii yang dinamakan oleh pakar-pakar psikologi sebagai krisis pertengahan umur. Pada waktu itu hormon testosteron akan berkurangan seiring berlakunya beberapa perubahan yang “mengejutkan”.




Lelaki Andropaus



Kaum lelaki akan mengalami fasa andropous yang mengakibat kurang daya rangsangan seks, cepat rasa letih, perubahan emosi seperti cepat marah,cepat merajuk, mudah rasa tertekan dan “mood” yang berubah-ubah. Pada waktu inilah lelaki akan diserang oleh pelbagai rasa yang meresahkan. Antaranya ialah dia mula berasa tidak bahagia dengan hidup dan gaya hidupnya sendiri.



Manakala secara interpersonal dia mula berasa bosan dengan individu-individu yang berada di sekelilingnya. Dari sudut kerjaya dan hobi, tiba-tiba ada bidang lain yang menarik minatnya. Dia seolah-olah menjadi remaja buat kali kedua walaupun dalam keadaan tenaga dan upaya semakin menyusut.



Lelaki andropaus juga dilanda penyesalan tentang pilihan-pilihan yang telah dan pernah dibuatnya dalam hidup. Mengapa aku memilih yang ini, tidak yang itu? Sampai pada satu tahap, dia berasa marah dengan isterinya dan rasa terikat dengannya. Dan paling menggerunkan apabila mula timbul keinginan untuk menjalinkan hubungan baru. Jangan terkejut jika pada usia ini lelaki yang selama ini “pijak semut pun tak mati” pun akan berlaku curang!




Wanita Menopaus



Bagi kaum wanita pula, mereka akan mengalami fasa menopaus. Tahap ini juga melibatkan perubahan fizikal, tingkah laku, emosi dan kejiwaan. Perubahan ini boleh menghala kepada kebaikan, mahupun sebaliknya. Wanita yang mengalami fasa ini akan terdorong untuk lebih berdikari dan mandiri. Fokusnya lebih kepada keakuannya. Dia ingin memiliki kemampuan kewangan sendiri, hobi dan objektif sendiri dan pelbagai lagi yang “sendiri”. Pada waktu itu ada wanita yang mengejar kembali atau “qada” semula apa yang tidak dapat dicapainya semasa muda.



Walau apa pun krisis yang melanda diri suami dan isteri, Islam punya cara untuk menangani krisis pertengahan umur. Islam adalah agama fitrah yang mampu menghadapi perubahan dalam fitrah kehidupan berumah tangga. Selagi berpegang kepada aqidah, syariat dan akhlak islamiah lelaki andropaus dan wanita menopaus akan dapat mengawal perubahan biologi mahupun psikologi ke arah kebaikan.



Hakikatnya, siapa kita sewaktu tua dicorakkan oleh masa muda kita. Jika cinta kita dibina atas tujuan beribadah, maka tujuan itu mampu mempertahankan kita daripada landaan godaan, cabaran dan masalah yang datang bersama krisis pertengahan umur. Jika pangkal jalan kita benar, betul dan kukuh maka mudahlah kita kembali ke pangkal jalan itu apabila dirasakan ada yang tersasar di pertengahan jalan kehidupan itu.



Suami andropaus dan menopaus hakikatnya diuji dengan keegoan (ketakburan). Sama-sama ego. Cuma selalunya ego lelaki lebih terserlah, manakala ego wanita lebih tersembunyi. Ego itulah yang menyebabkan suami merasakan dirinya lebih baik, gagah dan berupaya sehingga mula menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Ego itulah yang menyebabkan isteri mula berasa kuat dan mampu melalui kehidupan tanpa bersandar lagi kepada pandangan dan pimpinan suami. Dan ego itulah juga yang menyebabkan kedua-duanya melakukan aktiviti atau tindakan yang bertentangan dengan syariat.



Penyakit Ego



Ego dengan manusia berpunca daripada ego kepada Allah. Orang yang besar diri sebenarnya tidak mengenal kebesaran Allah. Jika Allah “dibesarkan” dalam dirinya, nescaya terasa kerdillah diri dan dengan itu seseorang manusia akan mudah berhubung dengan manusia lain. Kenal Allah juga akan membuahkan rasa cinta kepada-Nya. Dan cinta kepada Allah itulah sumber cinta kita sesama manusia. Gugurlah tiga ciri ego – berasa diri lebih baik, memandang hina orang lain dan menolak kebenaran daripada diri suami dan isteri. Dan dengan itu, mudahlah mereka berdua menghadapi krisis pertengahan umur.



Jadi, sangat penting dijaga niat dalam membina cinta dalam rumah tangga. Ia hakikatnya satu hijrah dari alam bujang ke alam perkahwinan dan hijrah itu mestilah didorong oleh niat yang baik, benar dan betul. Berniatlah berkahwin kerana Allah, kerana itulah pangkal jalan yang dapat kita susuri kembali apabila bertembung dengan masalah dalam kehidupan berumah tangga pada awal, pertengahan atau di hujungnya nanti. Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. bahawa seseorang akan mendapat ganjaran atau balasan mengikut apa yang diniatkannya.



Bagaimana pula dengan pasangan yang telah terlajak? Maksudnya, mereka yang berkahwin tanpa sedikit pun terniat kerana Allah? Yang berkahwin hanya atas dorongan fitrah dan dilangsungkan atas dasar adat bukan ibadat? Perlu diingat, tidak ada istilah terlambat dalam melakukan satu kebaikan. Selagi ada nyawa di badan, maka selagi itulah kita mampu membetulkan atau memperbaharui niat dalam perkahwinan. Bertaubatlah atas niat yang salah dan sebagai gantinya, binalah niat baru yang lebih benar dan jitu.




Gelanggang Ibadah



Katakan pada diri bahawa rumah tangga ini pada hakikatnya ialah gelanggang untukku dan pasanganku serta seluruh anggota keluargaku untuk beribadah kepada Allah. Ibadah bukan sahaja terbatas kepada solat, puasa, haji, zikir dan sebagainya. Tetapi semua tugas menyelenggarakan sebuah keluarga juga dikira sebagai ibadah. Suami yang mencari rezeki yang halal, mendidik isteri, membimbing anaknya adalah suami yang sedang beribadah kepada Allah.



Begitu juga isteri yang memasak, mencuci pakaian, menjaga anak-anak ialah juga isteri yang hakikatnya sedang beribadah kepada Allah. Selagi semua anggota keluarga beribadah dan rumah tangga dijadikan gelanggang ibadah, maka akan wujudlah ketenangan, kemesraan dan kasih sayang sesama mereka.



Katakan juga bahawa rumah tanggaku akan hancur sekiranya ia tidak lagi menjadi gelanggang ibadah buat seluruh anggota keluargaku. Aku, pasanganku dan anak-anak yang bertindak bertentangan dengan tujuan kami diciptakan akan merobohkan syurga yang indah ini.



Memang pada awal rumah tangga dibina segalanya akan nampak indah. Ini kerana segala-galanya terbina di atas fitrah… Maksudnya semua manusia secara fitrahnya (instinct) inginkan cinta. Seorang lelaki inginkan kasih sayang seorang isteri dan begitulah sebaliknya. Tetapi cinta yang  berasaskan fitrah sahaja tidak cukup untuk mempertahankan keharmonian dalam sebuah rumah tangga.



Fitrah perlukan syariat. Syariat itu ialah peraturan Allah. Melaksanakan syariat itulah ibadah. Syariatlah yang mengatur, menyubur dan mengawal fitrah. Allah yang mengurniakan cinta dan Allah jualah yang menurunkan syariat untuk mengawal dan menyuburkannya. Jika tidak, cinta akan tandus. Kasih akan pupus. Sama ada dalam diri lelaki andropaus mahupun wanita menopaus.



Ingatlah bahawa cinta itu adalah rasa. Ia tidak terbina oleh urat, daging dan tulang. Tetapi ia rasa yang terbina di hati. Di daerah rasa, tidak ada tua atau muda. Tidak ada permulaan, pertengahan atau pengakhiran. Di hati yang beriman, tetap ada cinta. Cinta tetap muda walaupun yang bercinta telah tua… justeru cinta itulah yang membentuk hati yang sejahtera, bekal kita ke alam syurga!

 COPY N PASTE

TENANGKAH HATI

REHATKAN HATI…

 Sungguh, benteng pertahanan terakhir kita kian rapuh. Saban hari saya menerima email atau panggilan yang menceritakan tentang rumah tangga yang hampir runtuh. Padahal saya sendiri masih terkial-kial bermujahadah untuk menjadi ayah, suami dan anak yang baik.

Kekadang saya tidak dapat memberi jawapan yang baru. Ini tentu menjemukan, kerana sahabat-sahabat perlukan pembaharuan pada jawapan. Apa yang mampu saya luahkan? Selain, mengulang-ulang apa yang pernah dipesankan oleh generasi salafussoleh terdahulu. Juga mengulang-ulang kata-kata yang pernah membujuk hati ketika saya sendiri diuji.

Sahabat dan saudaraku… jangan pernah mengalah. Patah sayap, terbanglah jua. Jika jatuh, jangan rebah… biar terhenyak tetapi tetap tegak walaupun terpaksa bertongkatkan dagu. Marilah kita berpegang pada janji bahawa kita akan selamanya bersatu dalam munajat dan nasihat. Kerana apa yang kita harap daripada seorang manusia hanyalah dua… munajatnya dan nasihatnya!

Tidak semua yang bertanya dapat saya jawab secara khusus. Ada yang saya baca dan terus doakan. Ada yang saya baca, terus termenung… berfikir dengan kepala yang simpati dan dada yang empati. MasyaAllah, kita sering kalah. Namun, buat sekian kalinya kita berbaiah, kita sekali-kali tidak akan mengalah!

Lalu, diketika saat-saat dirimu dan diriku diuji, sudi apalah kiranya kita REHATKAN HATI...

Mengapa setelah berzikir, solat atau berdoa  hati belum tenang? Sedangkan Allah telah menetapkan dalam Al Quran bahawa dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Khususnya ketika menghadapi ujian rumah tangga mengapa hati kita masih resah, kacau dan galau walaupun sudah berbuih mulut meluahkan kalimah-kalimah zikir? Justeru, ramai isteri atau suami mengadu, mengapa hati mereka tidak tenang walaupun telah berzikir ketika menghadapi krisis, ujian dan kesusahan dalam hidup berumah tangga?

Mengapa kita belum mendapat ketenangan sepertimana yang dimiliki oleh pasangan Sayidina Ali dan Siti Fatimah walaupun kita telah berzikir dengan kalimah subhanallah, alhamdulillah dan Allah hu Akbar, sama seperti yang pernah diamalkan oleh mereka? Apa yang tidak kena dengan zikir kita? Bukankah kalimahnya sama? Bukankah jumlah atau bilangannya sama?

Tidak syak lagi kita tidak dapat menghayati maksud tersirat daripada kalimah-kalimah zikir itu. Berzikir tanpa menghayati falsafah dan makna tersirat di sebaliknya, umpama burung kakak yang pandai bertutur. Untuk menghayati makna zikir sehingga meresap ke dalam hati perlukan ilmu, amalan dan latihan. Marilah kita sama-sama kita fahami apakah kesan atau rasa-rasa yang perlu dirasai oleh hati apabila kita mengingati Allah (berzikir).  Antara rasa-rasa itu ialah:

1.      Rasa kehambaan.

Rasa kehambaan ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain sifat kekurangan seorang manusia apabila berdepan dengan ujian daripada Tuhannya. Apabila diuji dengan karenah pasangan, kekurangan harta, anak-anak sakit dan sebagainya, seorang suami atau isteri yang memiliki rasa kehambaan akan sedar bahawa semua itu hakikatnya datang daripada Allah. Firman Allah:

“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”

Bila menyedari hakikat itu, seseorang akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Hatinya berbisik, “bukankah aku seorang hamba? Aku sewajarnya akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku diuji begini. “ Hatinya tidak akan berkata, “kenapa aku, bukan orang lain?” Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Sebaliknya jika kita ‘memberontak’, hati akan bertambah kacau. Let go, let God – maksudnya lepaskan dan pasrahlah kepada Allah.

Apakah tanda-tanda kita memberontak apabila diuji? Kata Imam Ghazali rahimahullah, “cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya!” Misalnya, seseorang suami atau isteri itu tidak mahu lagi untuk makan dan minum secara teratur, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan rumah atau menjaga anak-anaknya lagi.

Marilah sama-sama kita ingat, apabila ditimpa ujian, kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’, “Inna lillah wa inna ilaihi raji’un.” Firman Allah:

“Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-Nya kami kembali. (Surah al-Baqarah 2:156).”

Kalimah ini mengingatkan kita agar kembali merasakan erti kehambaan. Bahawa kita adalah milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini. Dengan ini kita akan dapat menurunkan rasa marah kepada pasangan, anak-anak, mertua atau sesiapa sahaja anggota keluarga kita. Ya, mereka berbuat demikian atas izin Allah jua!

2. Rasa bertuhan.

Rasa kehambaan yang serba lemah, itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Apabila kita rasa lemah, timbul pergantungan kepada yang Maha kuat. Apabila kita rasa kurang, timbul pengharapan kepada yang Maha sempurna. Apabila kita dihimpit kesedihan semakin kuat rasa pergantungan, pengharapan, permintaan kita kepada Allah. Mungkin selama ini kita terlalu bergantung kepada suami, isteri atau anak-anak.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina dan lemah. Sebaliknya rasa bertuhan akan menimbulkan rasa sabar, tenang dan berani menghadapi apa jua masalah dalam rumah tangga. Seorang suami yang paling kuat menghadapi ujian dalam hidup ialah suami yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Firman Allah: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. (Surah Taubah 9:40)”

Rasa bertuhan inilah yang menyebabkan para nabi dan rasul sanggup berdepan dengan karenah isteri mereka. Nabi Luth, Nabi Ayub, Nabi Nuh misalnya, mampu menghadapi ujian yang paling kritikal dalam rumah tangga mereka. Doa adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah: “Dan pintalah pertolongan dengan sabar dan mengerjakan solat. (Surah al-Baqarah 2: 45)”

Dalam apa jua keadaan – positif mahupun negatif, hati suami atau isteri tetap tenang. Firman Allah:  “Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana. (Surah al-Fath 48:4)”

Apabila hati tenang, berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya yang dilaporkan oleh Sa’ad bin Abi Waqqas: “Aku hairan dengan orang beriman, sekiranya dia mendapat kebaikan, maka dia akan memuji Allah dan bersyukur, dan sekiranya dia mendapat musibah dia akan memuji Allah dan bersabar. Dan setiap mukmin diganjari dalam setiap urusannya sehingalah diberi pahala pada setiap suapan makan yang diangkat ke mulut isterinya.”

3.      Memahami maksud takdir Allah

Mana mungkin kita dapat mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah SWT. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: We can’t direct the wind but we can adjust our sail – kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita.

Kemudi dalam bahtera rumah tangga kita ialah hati. Hati yang bersifat berbolak-balik (terutamanya apabila diuji) hanya akan tenang apabila kita meyakini sifat kasih sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya tetap bersama kita sewaktu diuji. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan buruk. Walaupun kekadang kita belum nampak kebaikannya, percayalah kebaikannya pasti ada.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baiklah kepada Allah, berdasarkan firman-Nya:  “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui sedang kamu tidak mengetahuinya. (Surah Al Baqarah 2: 216)”

Siapa tidak inginkan keharmonian, kasih sayang dan kemakmuran dalam berumah tangga. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, krisis masih berlaku jua, maka bersangka baiklah dengan Tuhan. Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita kesempitan belanja, maka berusahalah untuk menambah pendapatan, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.  Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Dengan ini kita tidak akan merungut, stres dan tertekan. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini: “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Jagalah rumah tangga kita dengan sebaik-baiknya. Carilah jalan damai sehabis daya.  Namun ingatlah jika badai terus melanda, ingatlah itu sudah maktub (tertulis). Jangan rosakkan hati kita dengan kalimah “kalau” atau “jika”. Hayati sabda Rasulullah saw ini: “Oleh itu, hendaklah engkau bersungguh-sungguh berusaha memperoleh apa yang memberi manfaat kepadamu, serta hendaklah meminta pertolongan kepada Allah dan janganlah engkau bersikap segan dan malas. Dan jika engkau ditimpa sesuatu, maka janganlah engkau berkata: “Kalau aku lakukan anu anu, tentulah akan terjadi anu anu, tetapi katalah: “Allah telah takdirkan dan apa yang dikehendaki oleh kebijaksanaan-Nya Ia lakukan,’ kerana perkataan ‘kalau’ itu membuka jalan kepada hasutan syaitan.” (Hadis riwayat Muslim)

4.      Mendapat hikmah apabila diuji.

Hikmah adalah suatu kebijaksanaan mendapat kebaikan di sebalik satu keburukan. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh mehnah – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya. Daripada Abd al-Rahman bin Azhar bahawa Ra­sul­ullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa sakit atau demam, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja.”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah para suami atau isteri meraih sebanyak-banyaknya pahala dan keredhaan Allah. Rumah tangga adalah medan ‘perjuangan’ melawan nafsu marah, putus asa, buruk sangka, dendam dan lain-lain sifat mazmumah yang mungkin timbul hasil interaksi dan komunikasi antara suami isteri, ibu-bapa dengan anak-anak, mertua dengan menantu.

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Justeru, hayatilah kata-kata hikmah ini: “Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan, dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”

Ya, inilah empat rasa yang sewajarnya ada ketika kita berzikir sewaktu mengharungi ujian dalam berrumah tangga. Bawalah hati kita berehat… dan rehat sebenar ada di dalam zikir. Dan zikir yang paling besar adalah solat. Oleh kerana itulah Rasulullah saw sering menyuruh Bilal supaya azan dengan katanya yang membujuk, “rehatkan kami dengan solat wahai Bilal!” COPY N PASTE

TELADANI SUAMI BERNAMA MUHAMMAD S.A.W

SEORANG SUAMI BERNAMA MUHAMMAD S.A.W

15
FEB
Begitu lama tidak meletakkan entri baru dalam gentarasa. Saya dalam cabaran untuk membahagikan masa natara menulis, menjalankan program latihan, berceramah dan menguruskan hal-hal peribadi serta keluarga.

Banyak yang perlu dipertimbangkan. Bukan dengan akal dan pemikiran sahaja, tetapi joga dengan hati dan perasaan. Kekadang logik itu menyakitkan. Kekadang emosi itu lepas dari kendali realiti dan kenyataan. Pohon hidayah Allah juga untuk membuat keputusan yang tepat dan tindakan yang paling bermanfaat.

Dilema antara tuntutan menulis dan memberi ceramah ini sudah lama. Telah ada pun keputusannya. Saya ingin menulis! Itulah kata-kata pengukuhan. Namun kekadang ada panggilan di hujung talian menusuk hati walaupun kekadang yang mengundang untuk berceramah di surau-surau kecil yang tidak berapa ramai ahlinya. Saya kekadang bimbang, mana tahu ada orang di situ yang benar-benar inginkan petunjuk, manalah tahu ceramah daif daripada saya boleh enjadi sebabnya (hidayah milik Allah).

Banyak juga pelawaaan untuk muncul di TV terpaksa saya tolak. Kekadang tajuknya sangat besar sehingga saya tidak mampu menanganinya. Saya tolak dengan baik2. Kekadang, tajuknya besar sedang wadah masanya terlalu keci, sehingga tidak mampu saya menyelaraskannya dengan misi dalam hati untuk berdakwah pada diri dan masyarakat. Ya, saya belajar melepaskan…

Banyak juga persoalan, masalah peribadi yang diajukan oleh pembaca, belum mampu saya jawabkan. Tetapi percayalah, sebaik sahaja saya membacanya saya akan berdoa untuk dri saya dan insan-insan yang dilanda ujian itu. Kita sama-sama diuji…

Maka terbayanglah dalam ruangan fikiran saya, bagaimana ulama-ulama, ustaz-ustaz, para pendakwah yang jauh lebih tercabar dengan kerja dakwah ini. Tentu ujian mereka lebih hebat. Bukan setakat ulama-ulama silam, malah pendakwah-pendakwah kontemporari kini pun mungkin menhadapi cabaran yang getir… Saya yang bagaikan ‘akar’ di tengah-tengah rotan ini hanya mampu beristighfar dan berdoa, semoga semua itu dorongan untuk mendidik diri.

Maafkan saya, saudara-saudari jika lama tidak memasukkan entri baru, bukan bermakna saya ‘lari’ tetapi kononnya berundur seketika ke belakang, ambil lajak untuk melompat lebih tinggi dan jauh. Apapun seperti yang saya pesan selalu, kita tidak akan mengalah dalam mujahadah. Kerana jika tidak susah-susah dalam melalui jalan kebenaran, kita tetap akan disusah-susahkan juga tetapi di jalan kebatilan. Lebih baik kita susah di jalan Allah, daripada susah di jalan nafsu dan syaitan.

Pada bulan Rabiulawwal ini izinkan saya menukilkan : Seorang Suami Bernama Muhammad S.A.W...

Jika ingin membina dunia yang lebih aman, kembalilah ke rumah masing-masing dan sayangi keluarga kita. Insya-Allah, apabila keluarga telah aman, masyarakat akan aman. Apabila masyarakat aman, negeri dan seterusnya negara akan aman. Dan apabila negara-negara telah aman, seluruh dunia akan aman. Oleh itu, apabila dunia semakin bergolak pada saat ini, percayalah itu semua berpunca daripada pergolakan rumah tangga. Ribut dalam cawan rumah tangga boleh mencetuskan badai di seantero dunia.

Perkara yang pertama dan utama dalam hidup seorang lelaki bernama suami adalah keluarga. Tidak ada gunanya dia berjaya di peringkat yang tinggi dan dalam bidang apa sahaja… sekiranya rumah tangganya sendiri berantakan. Justeru, Allah telah awal-awal lagi mengingatkan melalui firmanNya yang bermaksu, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada api neraka!

Setiap lelaki pasti ditanya tentang kepimpinanya. Dan kepimpinan yang pertama akan dipersoalkan di Hari Akhirat nanti, bukan kepimpinan masyarakat, organisasi, jabatan,  kabinet atau negaranya… tetapi kepimpinan dalam keluarganya. Seorang wanita mudah masuk ke dalam syurga walaupun tanpa suami bersamanya, tetapi seorang lelaki sangat sukar masuk ke syurga tanpa isterinya. Seorang suami hanya layak ke syurga apabila semua yang berkaitan isteri dan anggota keluarganya sudah dipersoalkan.

Oleh kerana itu tertib dalam usaha membina kehidupan yang baik dimulakan dengan membaiki diri, kemudian membaiki rumah tangga dan seterusnya pancarkanlah sinar dalam rumah tangga itu ke tengah masyarakat. Bukankah sinar Islam itu pun bermula dari rumah Rasulullah saw? Nur wahyu dari gua Hira’ terpancar ke dalam diri Rasulullah, kemudian menyinari jiwa Khadijah dan kemudian dari situlah… bermulanya cahaya Islam ke dalam masyarakat Arab di Makkah, seterusnya merebak ke Madinah dan akhirnya tersebar ke seluruh semesta.

Justeru, sebelum kita mencari pengiktirafan sebagai pengurus, pengarah, CEO, menteri, perdana menteri, Presiden, raja dan sultan yang berjaya, carilah dahulu pengiktirafan dari dalam rumah tangga sendiri. Jadilah suami yang berjaya. Tegasnya, kita belum benar-benar diiktiraf sebagai seorang yang baik sekiranya belum menjadi suami yang baik. Sekiranya kita bertanya siapakah orang yang paling baik? Dengarlah jawapan dari Rasulullah saw ini: ”Orang yang paling baik diantara kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah orang yang paling baik diantara kamu terhadap keluargaku.”

Mari sejenak kita layangkan fikiran dan terbangkan rasa menjelajah rumah tangga Rasulullah. Kita saksikan bagaimana manusia agung ini berjuang dalam gelanggang yang paling kecil tetapi sangat besar pengaruhnya kepada pembinaan ummah. Ya, bagaimana sikap, cakap dan diam baginda sebagai seorang suami. Semoga kita tidak hanya mengumpul riwayat dan hikayat, tetapi benar-benar menghayati makna sirah yang tersurat dan tersirat.

Adakalanya baginda pulang ke rumah lewat malam malah  menjelang dinihari. Kerja dakwah dan memimpn masyarakat acapkali menyebabkan baginda berenggang dengan isteri. Sejarah menceritakan bagaimana baginda tidak akan mengetuk pintu rumah untuk mengejutkan isteri yang sedang nyenyak tidur. Bahkan dibentangkannya sahaja kain ridaknya lalu dijadikan lapik untuk baginda tidur di muka pintu.

Apabila baginda bertanya kepada isterinya apakah pada hari itu ada makanan untuk dimasak dan apabila isterinya menjawab tidak ada… baginda akan tersenyum lalu memutuskan pada hari itu baginda akan berpuasa. Tenang dan indah sekali. Pada hari ada rezki untuk dimakan, baginda syukur. Apabila tidak ada, baginda sabar.

Sejarah menceritakan juga bagaimana baginda sendiri menjahit bajunya yang koyak dan menampal kasutnya yang bocor. Walaupun dia insan yang paling agung dan mulia, tetapi sentiasa sedia turun ke bawah membuat kerja-kerja yang dianggap remeh dan kecil oleh lelaki-lelaki lain yang kononnya lebih hebat dan unggul. Mereka terlupa bahawa pemimpin yang hebat ialah mereka yang rela membuat kerja-kerja kecil tetapi dengan jiwa yang besar. Dan Rasulullah telah membuktikan hakikat itu!

Bayangkan baginda yang sering menangis, bimbang dan takut akan nasib umatnya di akhirat tetapi masih punya masa untuk bergurau senda dengan isteri-isterinya. Bukan sekali baginda berlumba lari dengan iserinya hinggakan Aisyah berkata, “adakalanya baginda menang, adakalanya aku menang.” Sikap baginda yang romantik itu merupakan sesuatu yang masih sangat baru di kalangan umat Arab, kerana baru beberapa tahun sebelumnya wanita dianggap warga kelas dua sehingga bayi perempuan pun biasa ditanam hidup-hidup.

Sikap ‘gentleman’ dan romantik baginda bukan sahaja pada Aisyah yang jelita tetapi juga pada Saudah, seorang janda yang telah dinikahi oleh baginda ketika telah berusia. Oleh kerana Saudah telah tua dan kurang berdaya  dan badannya yang besar, baginda sering melipatkan lututnya untuk dipijak oleh Saudah apabila isterinya hendak menaiki unta. Sebagai perbandingan,  ramai daripada para suami kini yang membuka pintu kereta untuk isterinya?

Sekiranya terbayang juga kebimbangan pada raut wajahnya ketika masuk ke rumah isterinya, baginda akan menjawab jika isterinya bertanya kenapa? Ketika peristiwa perjanjian Hudaibiyah dimetrai dan para saabat begitu sedih sehinggakan tidak sedar akan perintah Rasulullah supaya bercukur dan menyembelih binatang, Ummu Salamah mendengar kebimbangan baginda itu lalu mencadangkan agar Rasulullah saw dahulu yang bercukur dan menyembelih korban…

Mata baginda bersinar atas cadangan dan pandangan isterinya lantas keluar semula lalu bercukur dan menyembelih kambing tanpa berkata sepatah pun kepada sahabat-sahabatnya. Baginda ‘bercakap’ dengan sikap seperti yang dicadangkan oleh Ummu Salamah. Dan melihat perbuatan baginda itu, para sahabat tersentak, tersedar lalu turut bercukur dan menyembelih binatang.

Bayangkan betapa besarnya jiwa baginda tetapi masih sudi mendengar cadangan daripada para isterinya. Jika benar dan betul, baginda akan menerimanya tanpa rasa malu dan ego. Tetapi jika batil dan salah, baginda tidak akan mengalah atau berundur walaupun selangkah.

Pernah baginda dihadiahkan seekor kambing untuk dimakan bersama keluarga. Baginda meminta Aisyah agar memberikan daging-daging kambing kepada orang yang lebih memerlukan. Aisyah dengan segera menunaikan perintah baginda… cuma ditinggalkan sedikit yakni bahagian kaki untuk Rasulullah saw. Ya, Rasulullullah gemar memakan kambing terutama bahagian kakinya dan itulah yang dititip oleh Aisyah untuk suaminya tersayang.

Apabila tiba waktu makan, Rasulullah bertanya apakah daging-daging kambing itu telah diberikan kepada fakir miskin? Lantas Aisyah menjawab sudah kecuali bahagian kaki yang dimasak untuk baginda. Baginda tersenyum gembira, namun masih sempat mengingatkan isterinya dengan kenyataan  yang penuh tarbiah dan hikmah, bahawa semua bahagian kambing itu menjadi hak mereka di akhirat kecuali bahagian kaki itu!

Di rumah baginda sentiasa tersenyum, ceria dan menolong kerja-kerja rumah. Hanya apabila azan bergema baginda akan berhenti dan serta merta menuju masjid seolah-olah tidak mengenal isterinya lagi. Jangan terkejut jika diberitakan adakalanya baginda akan mandi bersama dengan isterinya dan menceduk air dari bekas yang sama. Bukan berlakon-lakon, jauh sekali mengada-mengada, tetapi itulah realiti peribadi Rasulullah, insan paling kasih, paling sayang, yang segala perbuatannya lahir dari hati nurani yang paling murni. Sifat romantiknya lahir dari hati.

Banyak kali baginda mengingatkan, agar suami berlaku baik kepada wanita dan digalakkan bergurau senda dan bermain-main dengan isteri. Baginda bersabda:” bermain-main itu boleh dalam tiga hal. Ketika melatih kudamu, memanah dan bercanda dengan isterimu.” Biasa baginda mencium isterinya, ketika hendak berpergian jauh ataupun dekat, lama atau sekejap. Ciuman yang bukan hanya apabila nafsu bergolak, tetapi ciuman cinta yang lahir dari hati yang penuh kasih, kasihan dan sayang.

Baginda adalah suami yang ‘sporting’. Suatu ketika pada suatu Hari Raya, Sayidina Abu Bakar masuk ke rumah Aisyah di mana pada ketika itu ada dua orang perempuan sedang menari dan memukul gendang, sedangkan nabi menutup dirinya dengan baju (tidak melihat), maka Abu Bakar yang melihat keadaaan itu membentak kedua wanita tersebut, lalu Rasulullah menampakkan wajahnya seraya berkata, “hai Abu Bakar, biarkanlah mereka, sekarang adalah Hari Raya.”

Baginda minum daripada gelas yang sama dengan isterinya. Bahkan baginda mencecahkan bibirnya pada tempat di mana betul-betul bibir isterinya minum. Bahkan pada saat-saat akhir pemergiannya pun baginda meminta Siti Aisyah melembutkan kayu sugi dengan menggigitnya dan kemudian baginda minta disugikan dengan kayu sugi tersebut. Hinggakan kerana itu Aisyah menyatakan air liurnya dan air liur baginda bertemu sehingga saat akhir menuju kewafatannya.

Apabila baginda berada di bulan Ramadan, sentiasa baginda akan bangun pada waktu dinihari untuk solat dan munajat. Demi kasih sayang terhadap isteri, baginda akan mengejutkan mereka untuk sama-sama memburu kecintaan Allah. Tidak digerakkan isterinya  dengan gerakan yang kasar ataupun lengkingan suara yang tinggi, tetapi cuma disentuh dengan penuh kasih sayang dan dibelai dengan kata-kata bujukan.

Jika kita ingin menjadi suami… contohilah seorang suami yang bergelar Rasulullah – utusan Allah yang membuktikan kepada kita bahawa perkahwinan itu bukan hanya soal hidup bersama  tetapi ‘cinta bersama’ buat selama-lamanya.

Masyhurlah kemudiannya kata-kata “marriage is loving-together, not just living together” namun Nabi Muhammadlah suami yang membuktikan hakikat itu dalam kehidupan berumahtangganya lebih 1400 tahun yang lalu.Teladanilah seorang suami bernama Muhammad s.a.w
COPY N PASTE.

FAHAMILAH AKU WAHAI SUAMI

TOLONG FAHAMI AKU...

Maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu! Sesungguhnya ketika ini hati ku tidak menentu. Resah dan gelisah. Puas ku cari puncanya, rupanya segala-galanya kerana tidak memaafkan mu. Tidak memaafkan itu sesungguhnya satu dosa. Dosa itu pasti meresahkan.

Benarlah seperti apa yang pernah ditegaskan oleh  Rasulullah SAW:  “Dan dari Wabishah bin Ma’bad RA, ia berkata : “Aku telah datang kepada Rasulullah SAW, lalu beliau bersabda : ‘Apakah engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?’ Aku menjawab : ‘Benar’.

Baginda bersabda : ‘Mintalah fatwa dari hati mu. Kebajikan itu adalah apa-apa yang menenteramkan jiwa dan menenangkan hati dan dosa itu adalah apa-apa yang meragukan jiwa dan meresahkan hati, walaupun orang-orang memberikan fatwa kepada mu dan mereka membenarkannya”. (HR. Ahmad)

Ketahuilah aduhai isteri, sebaik sahaja surat ini di sisi, kau telah ku maafkan. Maafkan aku kerana tidak memaafkan mu. Sesungguhnya, aku acap kali dikuasai ego, sehingga terasa aku lebih ‘besar’, lebih penting dan lebih berkuasa…  sehingga dengan itu aku  tidak mampu memaafkan. Sedangkan aku hakikatnya hanyalah seorang hamba… yang kerdil, lemah dan berdosa. Siapalah diri ku sehingga tidak mampu memaafkan, sedangkan Allah, Tuhan yang Maha Besar itu pun sentiasa memaafkan.

Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah s.a.w. bersabda, ”Allah Yang Maha Tinggi berfirman: “Wahai anak Adam, sesungguhnya jika kamu berdoa kepada Ku dan mengharapkan- Ku maka Aku akan mengampuni mu atas semua dosa yang kamu lakukan, dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, andai kata dosa-dosa mu itu sampai ke puncak langit kemudian kamu meminta ampunan kepada Ku nescaya Aku ampuni dan Aku tidak peduli. Wahai anak Adam, seandainya kamu datang kepada Ku dengan dosa yang besarnya seisi bumi seluruhnya, kemudian datang menemui Ku dan tidak menyekutukan Aku dengan yang lain nescaya Aku akan datang kepada mu dengan ampunan yang besarnya seisi bumi seluruhnya.”

Sungguh, setelah aku teliti dengan hati-hati segala kesalahan mu isteri… semuanya berpunca daripada kesalahan ku jua. Aku yang masih gagal mendidik mu. Aku yang masih kurang sabar dalam menghadapi kerenah mu. Aku yang masih tidak lunak dalam bertindak dan berkata. Hingga dengan itu, kesalahan mu cuba ku tangani dengan satu kesalahan juga. Malah ada kala dengan satu kesalahan yang lebih besar lagi.

Sepatutnya, aku tidak terkesan dengan wajah mu yang mencuka dan layanan mu yang selamba. Tapi entah kenapa, pada hari itu aku menjadi sangat perasa. Mungkin kerana ujian dan cabaran yang begitu berat ketika pulang dari bermusafir. Keletihan, cabaran dan masalah ada kalanya menggugat juga ketenangan kita. Lalu aku rasakan segala-galanya itu hanya aku yang mengalami tanpa ku sedari kau juga sedang diuji. Apa kurangnya ujian dalam rumah dibandingkan ujian di luar rumah. Mungkin tidak dari segi fizikal, namun mental dan emosi mu tentu sahaja teruji.

Belum, belum… aku belum mampu menjadi suami seperti Sayidina Umar RA, yang mampu menghadapi kerenah isteri dengan senyuman. Yang mampu berdiam diri menghadapi leteran isteri. Bukan kerana takut isteri. Bukankah Sayidina Umar adalah insan penuh keberanian sehingga digeruni oleh para syaitan? Namun, begitulah tarbiah Umar kepada isterinya. Leteran dihadapi dengan kesamaran. Api kemarahan akan padam apabila disiram dengan salju kemaafan. Akan kurenungi kembali nasihat Sayidina Umar kepada seorang suami yang sering menghadapi kerenah isterinya dengan meluahkan suara hatinya sendiri ketika berdepan dengan situasi yang sama: “Hai saudara ku, aku terima keadaan itu kerana jasa-jasa isteri ku pada ku; dia seorang tukang masak makanan ku dan pencuci pakaian ku, dan yang menyusu anak ku, padahal semua itu bukan kewajipannya. Selain dari itu, dia dapat menahan hati ku dari perbuatan haram. Maka kerana semua itulah aku terima saja kecerewetannya.”

Ya, itulah peribadi Sayidina Umar yang sesungguhnya telah dididik oleh Rasulullah SAW. Pernah suatu masa Sayidina Umar masuk menemui  Nabi Muhammad yang ketika itu Nabi sedang berbaring.  Nabi telah menyendiri di biliknya dan sebelum itu telah tersebar khabar angin bahawa baginda telah menceraikan isteri-isterinya. Sayidina Umar : Ya Rasulullah, adakah kamu telah ceraikan isteri-isteri kamu?

Sayidina Nabi mengangkat kepalanya dan berkata : Tidak

Sayidina Umar : “Allahu akbar Allahu akbar. Tuan boleh lihat sendiri betapa wanita-wanita kita tidak sesekali berani mengungkit dan membalas apa kita cakap. Sekarang mereka mula telah terkesan dengan perempuan kaum ansar yang suka mengungkit dan membalas cakap suami mereka.”



Suatu hari saya marah isteri saya dan dia berkata : “Apa yang peliknya jika saya mengungkit dan membalas cakap awak sedangkan isteri-isteri Nabi pun melakukannya terhadap Nabi.

Sayidina Umar : Agak malanglah sesiapa di kalangan mereka itu yang melakukan sedemikian. Adakah kamu boleh tenang dengan kemurkaan Allah kerana membuat kemarahan Baginda. Habislah kalau begitu.



Nabi Muhammad tersenyum mendengar kata-kata sayidina Umar.

Sayidina Umar : “Ya Rasulullah, suatu ketika saya jumpa Hafsah dan berkata kepadanya : Janganlah kamu terpedaya dengan perasaan kamu apabila melihat mereka lebih comel dan disukai oleh Nabi.”

Nabi tersenyum sekali lagi. Sayidina Umar : “Adakah Tuan sudah merasa lega dan terhibur?”

Nabi berkata : “Ya.”



Semakin ku renung semakin terasa bersalah. Sungguh aku telah bersalah ketika ku tolak rayuan mu untuk dimaafkan tempoh hari.  Aku terlupa akan firman Allah ini: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepada mu) dengan cara yang lebih baik. Apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadap mu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib.” Al- Fushshilat : 34

Teringat aku ‘mauizah’ yang pernah ku terima dalam usrah suatu ketika dulu:“Jika tidak ada orang yang melakukan kesalahan kepada kita, mana mungkin kita mendapat pahala sabar? Jika tidak ada orang yang bersalah dengan kita, kita akan rugi… kerana tidak berpeluang mendapat pahala memaafkan. Sedangkan sabar dan memaafkan itu sangat besar pahala serta nilainya di sisi Allah.”

Begitu pesan para murabbi yang telah sama-sama kita dengar berulang kali. Ya, aku suami yang pelupa. Lupa akan pahala sabar. Alpa akan kelebihan memaafkan. Sedangkan telah lama Allah mengingatkan melalui firmanNya:”Orang yang sabar akan mendapat pahala tanpa hisab.” Allah jua telah mengingatkan:”. “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah Yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (QS. Az-Zumar: 10)

Sebagai suami aku seharusnya berjiwa murabbi. Seorang murabbi seharus nya lebih banyak memuji daripada mengeji, memujuk daripada mengutuk, mengajak berbanding membentak, melapangkan daripada menyusahkan… sayangnya, aku tidak sebegitu. Kekadang aku terlalu cepat menghukum. Sedangkan telah berkali-kali diperingatkan oleh orang yang bijaksana, “sesiapa yang cepat menghukum tidak akan sempat memberi kasih sayang!”

Lalu, di akhir lembaran ini sekali lagi… ku ulangi ayat pertama dalam surat ini, “maafkan ku wahai isteri kerana tidak memaafkan mu!”
COPY N PASTE

SUATU PERUBAHAN

BENAR-BENAR BERUBAH KE ARAH YANG BENAR

Berubah? Ke arah mana? Tentulah kepada yang lebih baik (good), benar (true) dan betul (right). Mana kayu ukur yang menentukan suatu itu benar, baik dan betul? Tentulah Al Quran dan Sunah. Yang Haq itu datangnya daripada Allah. Di atas kebenaranlah bertapaknya segala yang baik dan betul. Tanpa kebenaran, yang baik dan betul (pada pandangan manusia) tetap dikira buruk dan salah pada pandangan Allah. Apa yang datang daripada Allah – semuanya untuk kemakmuran, keharmonian dan kebahagiaan.

Tidak ada retorik yang paling hangat diperkatakan dewasa ini melainkan perubahan. Pemimpin mahu mencetuskan perubahan. Rakyat inginkan perubahan. Ya, sama ada perubahan itu kerana “terpaksa” (berubah atau rebah) atau kerana “rela” (berubah kerana Allah), terpulanglah… Pokoknya semua ingin berubah. Jadi mengapa kita tidak belajar dari Rasulullah s.a.w untuk melakukan perubahan? Bukankah baginda kita akui sebagai role model dalam kehidupan?

Rasulullah s.a.w. menggunakan kaedah daripada Allah untuk mengubah manusia. Walaupun Arab jahiliah ketika itu sedang berdepan dengan kegawatan politik (mereka sentiasa berbalah sesama sendiri), kegawatan ekonomi (ekonomi mereka dimonopoli oleh orang Yahudi) dan kegawatan sosial (perzinaan, perogolan, minum arak dan membunuh anak perempuan menjadi tradisi), tetapi Rasulullahlah s.a.w. tidak mengubat “penyakit-penyakit” itu pada akibat-akibatnya, tetapi terus pada puncanya.

Baginda yakin kegawatan yang bersifat lahiriah itu adalah hasil daripada “sakitnya” tiga elemen dalaman manusia – akal yang jahil, hati yang keras dan nafsu yang liar.
Inilah punca kejahatan manusia. Menyedari hakikat ini, Rasulullah s.a.w memulakan perubahannya dari dalam keluar (inside out) bukan dari luar ke dalam (outside in).

Tiga belas tahun Rasulullah s.a.w. menangani elemen dalaman dengan wahyu-wahyu di peringkat Makkah. Ayat-ayat Quran peringkat itu pendek-pendek dan sarat dengan persoalan tauhid. Semuanya berkisar pada asas iman – menerangkan tentang keesaan, keagungan, kebesaran dan keindahan Allah. Juga menggambarkan nikmat di syurga dan seksa di neraka.

Ini proses perubahan yang hakiki dan sejati. Rasulullah telah membuktikan betapa “formula” dari Allah ini relevan dan signifikan dalam menghadapi situasi dan kondisi umat Arab jahiliah dahulu yang lebih dahsyat kebejatannya berbanding umat Melayu kini.

Itulah kunci ke arah perubahan sikap. Tauhid yang kuat secara automatik akan mengubah rasa, fikiran dan tingkah laku manusia. Transformasi, reformasi, evolusi atau apa sahaja istilah yang dikaitkan dengan perubahan mesti berlandaskan tauhid. Ia membekalkan kekuatan pengetahuan, kemahuan dan kemampuan untuk berubah.

Tauhid ialah sumber kekuatan kerana ia mampu mengatasi semua elemen negatif yang datang dari luar diri sama ada yang datang dari keluarga, persekitaran, budaya bangsa, pengaruh atasan dan keserakahan nafsu sendiri.

Selepas itu, yakni ketika di peringkat Madaniyah, aplikasi sistem Islam mula dilaksanakan secara total. Dimulakanlah ekonomi, politik, budaya, pertahanan dan lain-lain. Namun asas dan teras tauhid yang dibina di peringkat Makkiyah tidak pernah dipinggirkan, bahkan terus-menerus disuburkan.

Seperkara lagi, kejayaan mengubah manusia banyak bergantung kepada faktor pengubah (individu yang hendak mengubah) itu sendiri. Justeru, pemimpin atau sesiapa sahaja di kalangan orang Melayu yang hendak mengubah sikap bangsanya mestilah menjadi teladan perubahan. Berubahlah untuk merubah orang lain!

Rasulullah s.a.w. berjaya mengubah manusia kerana baginda terlebih dahulu menjadi qudwah hasanah – contoh yang baik pada seruan, pendidikan dan pimpinannya. Hanya orang yang berjaya mengubah sikapnya dahulu, barulah dia akan berjaya mengubah sikap orang lain. Manusia lebih mempercayai mata daripada telinga. Maksudnya, cakap kita yang didengar manusia akan menjadi hambar sekiranya sikap kita yang dipandang terlalu tercemar.

Dua faktor perubahan di atas – pertama, formula perubahan. Kedua, pemimpin perubahan, perlu ditangani secara serius sekiranya kita benar-benar ingin berubah. Kita berdoa, semoga setiap pemimpin Melayu tidak kira di kumpulan mana sekalipun mereka berada, menyedari hakikat ini dan mula menelusuri kaedah Rasulullah s.a.w ini untuk berubah. Insya-Allah, mukadimah yang tepat pasti memberikan kita natijah yang baik. Amin.
copy n paste.

PERINGATAN BUAT HAMBA YANG DOIF.

IBADAH SANG KAPITALIS!

25JUN
tamakTentu ada yang salah di mana-mana, jika ada orang yang rajin solat tetapi masih gemar mengumpat. Orang yang berpuasa tetapi masih tega menghina. Atau orang yang banyak berzikir dan berwirid tetapi sangat bakhil dan kedekut. Mengapa amal ibadah itu tidak membuahkan akhlak yang baik? Padahal ibadah itu umpama ‘pohon’ yang menghasilkan ‘buah’ akhlak.
Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi terkenal, Bisyr bin Harits untuk mengucapkan selamat berpisah kerana dia hendak mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. Dia berkata, “Aku berniat pergi haji. Adakah sesuatu yang hendak engkau sampaikan kepada ku untuk aku lakukan?”
“Berapa banyak wang yang kau siapkan untuk bekalan?” tanya Bisyr.
“Dua ribu dirham.”
“Apa tujuan engkau mengerjakan haji kali ini? Apakah kerana zuhud terhadap dunia atau untuk melepaskan kerinduan kepada Baitullah atau untuk mencari keredaan Allah?”
“Demi mencari keredaan Allah,” jawab lelaki itu tegas.
“Sekiranya engkau dapat meraih keredaan Allah, sedangkan engkau tetap tinggal di rumah mu dengan menginfakkan dua ribu dirham  itu, apakah engkau bersedia untuk melakukannya?” tanya Bisyr.
“Ya.”
“Kalau begitu pergilah dan infakkan wang dua ribu dirham itu untuk menolong sepuluh golongan manusia; seorang yang terbeban oleh hutangnya, lalu engkau bayar hutangnya; seorang miskin, lalu engkau baiki tahap hidupnya; seorang mempunyai keluarga yang ramai anak; seorang penjaga anak yatim , lalu kau gembira anak yatim yang diasuhnya…”
Bisyr menyambung lagi, “Sekiranya hati engkau cukup kuat untuk memberi wang itu kepada seorang sahaja di kalangan mereka, maka berikanlah! Sesungguhnya, perbuatan engkau memberi kegembiraan di hati orang Muslim dengan menolongnya menghadapi penderitaan, membantunya keluar dari kesusahannya dan menolong orang yang lemah, adalah jauh lebih utama daripada ibadah haji seratus kali (setelah haji pertama yang diwajibkan seumur hidup.)”
Biyr bin Harits menambah lagi, “sekarang engkau pergilah dan infakkanlah wang dua ribu dirham itu sepertimana yang aku cadangkan. Atau jika tidak, luahkan sahaja isi hati mu sekarang…”
Lelaki itu termenung  sebentar lalu berkata, “Wahai Abu Nashr ( gelaran Bisyru Al Harit), niat untuk ku mengerjakan haji lebih kuat dalam hati daripada semua amalan yang kau ucapkan itu!”
Mendengar jawapan itu, Bisyr tersenyum dan berkata, “Memang, apabila harta diperoleh melalui perniagaan yang kotor atau syubhat, maka hati akan tertarik untuk memenuhi keinginan hawa nafsu dengan menampakkan dan menonjolkan amal-amal soleh (agar diketahui oleh orang ramai). Padahal Allah telah bersumpah demi dirinya sendiri, bahawa Dia tidak akan menerima selain amalan orang-orang yang bertakwa.”
Subhanallah, pengajaran daripada kisah ini sangat relevan sehingga kini. Kita lihat betapa ramai ahli ibadah tertipu dengan ‘menyembah’ kesenangan dan kepentingan dirinya atas nama agama. Mereka meminggirkan amalan yang menyuburkan kasih sayang sesama manusia kononnya untuk berbakti kepada Allah. Padahal kesan amal ibadah itu ialah akhlak dan akhlak itu terserlah melalui sifat kasih sayang kepada manusia lain. Tegasnya, kasih sesama manusia itu adalah kesan kasih kepada Allah. Firman Allah: ” Sesungguhnya orang-orang beriman dan beramal soleh kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih sayang.” Maryam: 96
Ada orang yang riyak dengan rumah besar dan kereta mewahnya, tetapi ironinya ada juga orang riyak dengan amal ibadahnya. Cuba lihat betapa ramai orang yang pergi mengerjakan haji dan umrah sehingga berkali-kali. Setiap kali pulang ke Tanah Air, dia mula bercerita tentang tangisannya ketika mengucup Hajarul Aswad, hatinya yang tersentuh ketika berdoa penuh khusyuk di Pancur Emas,  atau rasa sayu dan sedih ketika tafakur di makam Rasulullah SAW.  Itulah yang jadi bahan ceritanya sekembali dari Makkah.
Seiring perkembangan teknologi terkini, segala apa yang telah dilaluinya akan jadi entri baru di  muka buku (FB). Terpampanglah gambarnya dengan pelbagai aksi syahdu di makam Ibrahim, di sisi Kaabah dan pelbagai lagi tempat suci… Sepatutnya, apabila berada di rumah Allah, yang kita besarkan adalah Allah, bukan diri kita yang berada di rumah Allah itu. Jika kita merintih, merintihlah dengan suara yang didengar oleh Allah, bukan yang kita tuliskan untuk tatapan orang lain.
Lebih malang lagi apabila dalam realitinya ada juga individu yang telah berkali-kali mengerjakan umrah atau haji ini tega  membiarkan saudara mara, anak yatim, orang miskin, janda terbiar,  bahkan sahabat terdekatnya dalam  keadaan yang melarat. Contohnya, ada majikan memburu pahala mengucup ‘hajarul aswad’ sedangkan dia punya peluang merebut pahala yang lebih besar dengan membela nasib pekerjanya yang sedang  hidup serba kekurangan. Atau orang kaya yang mengejar pahala berganda dengan bersolat di Masjid al Haram dan Nabawi, sedangkan jirannya meronta-ronta kelaparan. Ini ibadah Sang Kapitalis!
Para abid yang tertipu ini hanya  membina ‘ritual’ agama tetapi bukan roh atau ‘spiritual’ agama. Nilai amal itu bukan terletak kepada soal-soal lahiriah (walaupun itu juga dituntut) tetapi terletak pada tujuan dan roh amal ini.  Allah telah mengingatkan betapa perlunya kita menyantuni orang-orang yang melarat dalam masyarakat kerana itu tanda iman dan amal soleh.  Firman Allah:”Tahukah kamu orang yang mendustakan agama? Yakni mereka yang mengherdik anak-anak yatim, dan tidak menganjurkan memberi makan orang-orang miskin.”
Sering diungkapkan oleh orang yang bijaksana, “Kita perlu akrab dengan manusia untuk mengetahui masalahnya dan kita perlu akrab dengan Allah untuk membantu manusia menyelesaikan masalah tersebut.” Ertinya,  hubungan dengan Allah (‘habluminallah’) dan hubungan sesama manusia (‘habluminannas’) itu sangat erat keterkaitannya.  Seseorang tidak akan dapat menjalinkan hubungan baik dengan Allah sekiranya tidak menjalinkan hubungan baik sesama manusia.
Sesungguhnya keredaan Allah bukan sahaja ada di masjid atau surau tetapi di rumah anak-anak yatim, rumah orang miskin, rumah sakit, dan rumah kebajikan orang-orang tua. Jika kita bijak menilai keutamaan, banyak yang kita boleh buat untuk mendapat kecintaan Allah dengan berbuat baik sesama manusia!
copy n paste..

Friday 14 June 2013

Antara Keinsafan dan Bersyukur( Refleksi lawatan ke Medan)

Assalamualaikum!
Cuti pertengahan tahun 2013...sempat ikut lawatan penanda aras ke USU,Medan. Banyak pengalaman dikutip sesuai dengan peribahasa jauh berjalan luas pandangan. Alhamdulillah diberi rezeki dan peluang walaupun tidak jauh namun sangat teruja kerana suami dan anak-anak dapat turut serta.
Sebenarnya, ia lebih pada memenuhi impian anak-anak..dan sebagai hadiah kepada anak-anak yang berjaya dalam pelajaran masing2...Thanks Allah kerana memberiku anak-anak yang soleh dan solehah...amin.
Di Brastagi...

 Pandangan dari hotel Grand Kinayah....masjid ..
 Di Perapat sebelum menaiki bot ke Pulau Samosir.
 Tak peduli tentang kedaifan rumah tapi mesti ada parabola..
 Tanjung Unta...pertengahan jalan menuju ke Brastagi...Subhanallah...
 Di LCCT...menunggu flight ke Medan..tanggal 30 Mei 2013..
 Bersama kawan-kawan ....
 Bergambar sebaik tiba di Lapangan terbang Medan..
 Bersama anak-anak di Istana Maimoon..
Hubby jugak...

Refleksi..
1. Kesabaran pemandu yang sangat bertolak ansur...walaupun bersesak2 dan sempit...hanya 1 tol  
    jer..lebuhraya tak sampai 10 kilometer...
2. Penyebaran Islam bersaing sengit dengan Kristian...kesan pegangan PANCASILA...agamab tergadai..
3. Penggunaan 1 bahasa ...suatu kebaikan namun menjadi payah untuk membezakan bangsa dan agama..
4. Kegigihan mencari sesuap nasi..walaupun terpaksa memaksa....(mohon simpati) untuk membeli barangan
    mereka..
5. Kesedaran Islam mula meningkat..kesan TSUNAMI di Acheh..ramai pengusaha Acheh memulakan
    hidup baru di Medan....
Okey..sampai jumpa lagi...wassalam.