BACAAN QURAN

Listen to Quran

Saturday, 6 February 2016

10 WASIAT IMAM AS-SYAFIE

Hayati Sepuluh Wasiat Imam As-Syafie

“Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka hendaklah ia mengamalkan akan sepuluh perkara”.
(Wasiat Imam as-Syafie)

Sebelum Imam as-Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut:

Pertama: Hak Kepada Diri;
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Kedua: Hak Kepada Malaikat Maut;
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah SWT.

Ketiga: Hak Kepada Kubur;
Iaitu: Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

Keempat: Hak Kepada Malaikat Munkar dan Nakir;
Iaitu: Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.

Kelima: Hak Kepada Mizan (Neraca Timbangan Amal Pada Hari Kiamat);
Iaitu: menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

Keenam: Hak Kepada Sirat (Titian Yang Merentangi Neraka Pada hari Akhirat);
Iaitu: Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

Ketujuh: Hak Kepada Malaikat Malik (Penjaga Neraka);
Iaitu: Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

Kelapan: Hak Kepada Malaikat Ridhwan (Penjaga Syurga);
Iaitu: Berasa redha dengan qadha’ Allah SWT, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah SW dan bertaubat dari melakukan maksiat.

Kesembilan: Hak Kepada Nabi Muhammad SAW;
Iaitu: Berselawat ke atas Baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as- Sunnah, menyayangi para sahabat dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah SWT.

Kesepuluh: Hak Kepada Allah SWT;
Iaitu: Mengajak manusia kearah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.

Imam as-Syafie terkenal sebagai seorang yang paling alim di zamannya tentang makna-makna al-Quran, dianggap sebagai seorang manusia yang paling tahu tentang isi al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. Beliau diiktiraf sebagai seorang ulama besar dan muktabar sehingga fatwa-fatwanya dijadikan rujukan sejak zamannya sehinggalah sekarang. Kehebatan ilmu Imam as-Syafie ini telah mengagumkan ulama-ulama besar yang lain, sehinggakan Imam Ahmad bin Hambal berkata:

“Kalaulah tidak kerana as-Syafie, tidaklah kami mengenali ilmu hadis”.

Apabila kita dapat menghayati Sepuluh Wasiat Imam as-Syafie yang dinyatakan di atas, kesimpulan yang boleh diambil dari wasiat ini adalah tentang betapa amalan soleh setiap orang mukmin itu akan menjadi perisai kepada kehidupan kita supaya terhindar dari kemurkaan Allah SWT. Wasiat ini juga menunjukkan kepada kita bahawa iman itu perlu dibentengi dengan kekuatan ilmu yang akan memastikan setiap mukmin itu sedar akan tujuan kejadiannya dan di manakah akhirnya kehidupan ini. Renung-renungkanlah!

No comments:

Post a Comment