Agak lama tak meluahkan pendapat di sini. Hari ini digagahi jua menulis sesuatu yang tajuknya semacam biasa-biasa dan semua orang anggap mereka terhindar dari melakukannya.
Alhamdulillah, andai kita mampu menghindari perbuatan ZINA. Namun , adakah kita sedar bahawa saat kita LIKE dan SHARE ,UPLOAD, DOWNLOAD juga kita sedang berZINA.
Fikirkanlah,, Peringatan Allah swt.. JANGAN KAMU HAMPIRI ZINA.
Media soaial yang pelbagai dan lambakan gadjet telah menjadi medium ZINA yang kita tidak sedar.
Teknologi yang sangat canggih ini seolah-olah cuba menyaingi TEKNOLOGI ALLAH. Manusia alpa bahawa setiap ciptaan manusia ada baik dan buruknya.
BEBERAPA hari lalu, pemimpin Iran, Ayotollah Ali Khamenei mengeluarkan fatwa untuk mengharamkan sembang internet antara wanita dan lelaki bukan mahram kerana boleh mendorong perbuatan maksiat.
Fatwa itu dipersetujui oleh Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Osman dan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad yang turut menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan turut mengharamkan aktiviti itu bagi mencegah penularan kegiatan bertentangan Islam.
Mereka mahu Majlis Fatwa Kebangsaan mewartakan fatwa dan menyediakan garis panduan mengenai perbuatan ini bagi mencegah penularan pelbagai kegiatan bertentangan Islam yang turut dikesan menjadi faktor keruntuhan institusi perkahwinan umat Islam.
Hassan berkata, Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengkaji keperluan untuk mewartakan fatwa supaya melarang perbualan berbaur maksiat.
Manakala Abdul Rahman pula berkata, masyarakat hari ini berpandangan pergaulan bukan muhrim di media sosial tanpa batasan tidak melanggar hukum Islam kerana ia tidak membabitkan pertemuan secara fizikal.
Di Malaysia, 'chatting' atau komunikasi dengan tulisan melalui jaringan internet semakin menjadi viral tambahan pula internet boleh diakses di mana-mana menggunakan telefon bimbit kini.
Sembang antara lelaki dan perempuan bukan mahram pada dasarnya tidak dilarang apabila perbualan itu mengikut syara'.
Perbualan mengandungi kebaikan, menjaga adab-adab kesopanan, tidak menyebabkan fitnah dan tidak khalwat.
Gesaan Mufti Pahang dan Mufti Penang Harus Dipertimbangkan
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata chatting dalam internet dengan bukan mahram adalah haram dalam Islam, percakapan dan chatting antara lelaki dan perempuan dalam internet seperti membuka pintu fitnah dan maksiat.
Katanya, hal itu adalah hukum Islam dan tiada kaitan dengan pegangan Syiah.
Tan Sri Harussani Zakaria. Pic: www.kl-today.com"Walaupun Iran itu ramai penganut Syiah, tapi apa yang dilakukan adalah mengikut Islam.
Malah, beliau turut menyarankan cara terbaik sekiranya kerajaan ingin mengharamkan chatting seperti yang dilakukan Iran .
"Salah satu caranya adalah dengan menyekat semua akses laman sosial jika kerajaan benar-benar ingin haramkan seperti yang digesa Mufti Pahang dan Penang", katanya kepada mD.
Manakala bagi pendakwah bebas, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim berkata, Penguatkuasaan fatwa adalah di bawah bidang kuasa negeri-negeri kerana pentadbiran undang-undang Islam terletak di bawah negeri.
Namun katanya cadangan daripada kedua-dua Mufti Pahang dan Penang itu memerlukan kajian yang lebih teliti kerana orang Islam sendiri harus mendalami teknologi terkini supaya tidak ketinggalan.
"Saya tidak melihat internet ini sesuatu yang tidak baik, banyak perkara yang memerlukan kita berurusan menerusi internet seperti berniaga, saluran maklumat yang cepat dan perlu diakui tidak semua pengguna yang menggunakannya dengan baik...di situ timbulnya penyalahgunaan dan menyebabkan pelbagai perkara tidak diingini berlaku.
Katanya, setiap negeri di negara ini mempunyai fatwa yang berlainan dan mereka berhak mewartakan apa-apa fatwa sekiranya bersesuaian dengan keadaan setempat.
"Jika di Penang mempuyai banyak masalah yang berpunca daripada kegiatan chatting bukan mahram, maka mereka berhak dan negeri lain tidak perlu ikut sekiranya kurang bersesuaian dengan tempat mereka.
"Sebagai contoh, Selangor dan Kedah sudah mewartakan fatwa pengharaman rokok tetapi tidak bagi negeri lain, jadi ini adalah contoh bahawa fatwa boleh diwartakan mengikut kesesuaian negeri", jelasnya kepada mD.
Namun tidak dinafikan banyak kes- kes maksiat, zina, buang bayi dan jenayah yang berpunya daripada aktiviti itu. Logiknya penyalahgunaan itulah juga mungkin boleh menjurus kepada keruntuhan rumah tangga bermula daripada perkenalan melalui sembang internet secara biasa seterusnya kepada cinta di alam siber membabitkan pasangan suami atau isteri yang sudah berkahwin.
Kisahnya, si isteri disepak, dipukul si suami dek kerana sangkakan si isteri curang. Ini berpunca disebabkan keasyikan sang isteri yang suka ber’facebook’.
Sudah banyak kes begini terjadi di negara kita. Bergaduh atau bercerai kerana facebook.
Pendakwah dan Perundingcara Kekeluargaan, Zainal Abidin Yahaya berkata cadangan daripada kedua-dua Mufti dari Pahang dan Penang itu sememangnya harus diberi perhatian oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Katanya, semakin ramai pasangan yang bercerai kini adalah berpunca daripada kecurangan pasangan yang melibatkan internet.
"Walaupun ianya tidak banyak kes yang berpunca daripada cinta siber, namun kita harus ambil serius berkenaan hal ini dan kemungkinan besar dengan adanya akses internet di telefon bimbit, maka semakin ramai yang terjebak dalam aktiviti ini.
Bagaimanapun jelasnya, penyalahgunaan itu tidaklah seperti faktor utama seperti ekonomi, tiadanya akidah dan wujudnya orang ketiga dalam rumahtangga.
"Ya, memang tidaklah faktor utama tetapi harus diberi perhatian kerana pasangan yang curang sukar dikesan jika bercinta dalam internet.
"Pada mulanya mereka hanya berkenalan sebagai kawan, berchatting seperti biasa dan kemudian bila selalu sangat berchatting, terbit pula rasa rindu dan mulalah bibit-bibit percintaan dan maksiat, jadi saya fikir ia harus diteliti", jelasnya kepada mD.
Tambahan pula dengan perkembangan media sosial, semua orang boleh mengakses facebook atau twitter misalnya, boleh dilakukan di mana-mana saja dan pada bila-bila masa hanya dengan menggunakan sebuah telefon bimbit.
Fatwakan Haram, Salah Satu Cara Kurangkan Jenayah Siber
Masihkah anda ingat dengan kes jururawat berusia 25 tahun yang menjadi ‘tawanan’ seorang Romeo Siber yang mengurungnya di sebuah rumah setelah beberapa hari berkenalan melalui laman Facebook baru-baru ini?
Saban hari pasti ada berita yang dipaparkan media mengenai keganasan dan jenayah siber yang mengundang ketakutan di kalangan masyarakat.
Malah ada juga yang membuang bayi disebabkan hubungan terlarang dengan rakan media sosial berpunca daripada 'chatting' di laman sosial. Semuanya berpunca daripada perkenalan di media sosial, tidak kira Facebook, Twitter atau mungkin WeChat.
Ogos tahun lalu, seorang remaja dituduh merogol seorang gadis yang baru dikenalinya dalam tempoh dua hari menerusi aplikasi WeChat di tepi tangga sebuah pangsapuri.
Tidak hairanlah jika Majlis Fatwa Kebangsaan juga digesa untuk mengharamkan sembang internet diantara lelaki dan wanita bukan muhrim bagi mengelakkan berlakunya maksiat serta jenayah lain.
Penganalisis jenayah, Kamal Affendi Hashim juga menyambut baik langkah yang dikemukakan pihak kedua-dua Mufti itu bagi mengurangkan kadar jenayah siber.
Katanya, apa sahaja cara yang disarankan adalah baik untuk mencegah jenayah berat namun yang lebih utama adalah kawalan kepada diri sendiri (mangsa).
"Banyak jenayah siber kerap berlaku dan kebanyakkannya mereka yang baru sahaja berkenalan malah telah diterangkan bagaimana ia terjadi, penjenayah menggunakan identiti palsu... jika seseorang itu sayangkan nyawa, dia sedar kesannya mengapa mereka masih lagi mahu berdegil dan melayan orang yang baru dikenali di internet?
Jelasnya, chatting di internet juga boleh membawa kepada jenayah melalui ciri perbualan dan boleh didakwa dibawah Akta Perlindungan Kanak- Kanak dan Akta Perlindungan Wanita & Gadis.
"Melalui chatting, ciri-ciri berbualan itu sendiri boleh membuktikan arah tuju komunikasi itu, penipuan siber ini berlaku dimana-mana dan setiap hari pasti ada kejadian melibatkan internet jadi mengapa individu (mangsa) tidak peka?.
Jelasnya, individu yang selalu menjadi mangsa adalah mereka yang merasakan diri mereka tidak akan ditipu kerana status, pendidikan dan berpendapat penipuan hanya berlaku kepada orang lain.
Malah apabila berinteraksi di media sosial, mereka tidak meminta pandangan daripada pihak ketiga seperti rakan atau keluarga untuk membantu mereka mempuat keputusan.
"Itu silapnya, mereka fikir mereka tidak akan ditipu kerana mereka cerdik, keluar dengan rakan yang baru kenal tanpa pengetahuan rakan atau keluarga... maka inilah kesannya," jelasnya kepada mD.
Fitnah siber!

Gambar hiasan.
SENARIO hari ini menyaksikan masyarakat begitu kalut berfitnah, maklumat palsu, berprasangka buruk, pernyataan beremosi sehingga wujud salah faham yang membawa kepada caci, kutuk, menuduh, malah membuat kesimpulan dan menghukum seseorang dengan bersandarkan maklumat yang diviralkan di media-media sosial.
Tidak dinafikan, medium seperti WhatsApp, Intagram, Twitter, Facebook, WeChat dab pelbagai aplikasi lain lagi, banyak mendatangkan kebaikan walaupun dalam masa sama meninggalkan kesan negatif. Segelintir pihak menjadikan aplikasi talian ini sebagai punca pendapatan sehingga sanggup berhenti kerja meninggalkan gaji besar. Ada juga kelompok yang menggunakan platform ini sebagai medan menyeru ke arah kebaikan.
Dalam ada baik terpalit juga buruknya, begitulah adat dunia. Teknologi itu diciptakan untuk memudahkan urusan kehidupan, namun ada pula pihak yang menyalahgunakannya. Kita sedia maklum, teknologi berubah dari masa ke masa dan ia sentiasa ditambah baik sehingga tanpa menekan apa-apa butang pun, alatan canggih boleh berbunyi dan berfungsi.
Hari ini, kecanggihan teknologi dan individu yang menggunakannya benar-benar mengubah prinsip hukum dan adab dalam menyebarkan maklumat menurut kaca mata Islam.
Pendakwah, Prof Madya Mohd Nor Mamat, berkata terdapat beberapa golongan yang mencetuskan terjadinya fitnah alam siber ini antaranya mereka yang sememangnya berniat jahat, memfitnah orang, memburuk-burukkan atau menjatuhkan nama baik orang lain. Golongan ini seharusnya dijatuhkan hukuman berat sebagai pemfitnah. Malah orang yang disabitkan kesalahannya dalam hal ini tidak layak untuk dipercayai kata-katanya, tidak boleh menjadi saksi dan mereka boleh dihukum sebagai fasik.
"Golongan ini tidak berwaspada dengan risiko silap faham dan kemungkinan dipergunakan bagi tujuan yang tidak baik. Mereka bukanlah berniat untuk menyebarkan fitnah, tetapi kurang sedar dengan tipu helah siber yang memungkinkan seribu satu penyalahgunaan.
"Kadangkala mereka ini adalah keyboard warrior yang sukakan perhatian. Saya fikir ramai golongan begini dalam masyarakat kita, kerana itu pendidikan mengenai etika Islam di alam siber perlu dipertingkatkan. Undang-undang yang sedia ada juga perlu diperketatkan," katanya kepada Rehal.
Menurutnya, golongan jahil dan menyebarkan maklumat yang dirasakannya baik dengan tujuan memberi manfaat kepada orang lain tanpa menilai terlebih dahulu kesahihan.
Andai kita termasuk dalam golongan sebegini, cepat-cepatlah ingat hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud berdiam diri itu lebih berpahala berbanding menyebarkan berita atau ilmu yang langsung tidak diketahui kebenarannya.
Kelompok yang menjadi mangsa kepada permainan fitnah oleh golongan berkenaan seharusnya dibantu dan dibimbing agar lebih berhati-hati dengan risiko interaksi atau komunikasi di alam siber.
Ustaz Mohd Nor berkata, golongan ini wujud dalam kalangan orang yang 'baik-baik' - bertindak reflektif kepada persekitaran negatif dan akhirnya bertindak secara negatif. Jangan pula sampai mengambil tindakan sendiri untuk mempertahankan diri dengan mencipta fitnah terhadap golongan lain.
Situasi berkenaan lantas mewujudkan budaya berbalas maki hamun, dedahkan aib saudara seagama dan sebagainya. Akhirnya, suasana fitnah berterusan dan tiada kesudahan.
"Saya percaya, suasana ini timbul dan dimulakan oleh kelompok yang kecil. Pihak yang terlibat tidak perlu menuding jari kepada sesiapa.
"Sifirnya mudah, jika mahukan keadaan aman dan harmoni tanpa fitnah memfitnah kitalah yang perlu mulakan perubahan untuk menjadi baik," katanya yang juga Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar) Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini.
Teliti maklumat
Beliau menambah, sudah ada undang-undang sivil dikenakan kepada pemfitnah siber ini. Namun, dalam konteks agama belum ada lagi undang-undang Islam yang membicarakan perihal ini secara khusus.Tetapi, Islam melihat penyebaran fitnah, penyampaian maklumat palsu ataupun tidak disahkan kepastiannya bersalahan di sisi ALLAH SWT.
Memang mudah menyebarkan maklumat palsu terutama dalam alam siber yang tidak mengenali antara satu sama lain, tetapi amaran ALLAH seharusnya menjadi bekalan pendinding agar sentiasa beretika dengan-Nya.
Renunglah firman ALLAH SWT yang bermaksud: "(Ingatlah) ketika kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit pun, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal di sisi ALLAH adalah besar." (Surah An-Nur: 15)
Sumber sahih
Kita haruslah mementingkan sumber yang sahih dan mengelakkan daripada prejudis serta prasangka tanpa maklumat yang tepat. Hari ini, fitnah dan berita palsu banyak tersebar akibat sikap prasangka sebati dalam budaya kita.
ALLAH mengingatkan kita mengenai ancaman azab-Nya terhadap orang yang banyak berprasangka dan menggunakan saluran maklumat untuk tujuan jahat atau propaganda bagi menjatuhkan orang lain. ALLAH SWT berfirman: "Hai orang yang beriman!
Jauhilah kebanyakan salah sangka (dugaan terhadap sesama Muslim) kerana sebahagian sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari aib orang serta janganlah setengah kamu mengumpat yang lainnya. Sukakah salah seorang kamu bahawa dia memakan daging saudaranya yang telah mati (bangkai)? Maka tentu kamu benci memakannya…" (Surah Al-Hujurat: 12)
Ustaz Mohd Nor menambah, berdasarkan kepada perspektif al-Quran dan hadis serta pandangan ulama dalam bentuk aplikasinya, Al-Quran menggariskan tips berbicara ataupun menulis dalam komunikasi kita, hanya perkara yang baik-baik sahaja (Qaulan Ma’rufa) dan bukannya dipalsukan atau ditokok tambah (Qaulan Sadida), dengan cara yang baik dan positif (Qaulan Karima), bahasa yang mudah difahami dan tidak mengelirukan (Qaulan Maisura), lemah lembut (Qaulan Layyina) serta dengan jelas dan jangan disensasikan sehingga menimbulkan teka teki ataupun silap faham (Qaulan Baligha).
"Individu berkenaan perlu menerapkan sifat mulia Rasulullah SAW sama ada semasa bersemuka atau di alam maya. Kita hendaklah sentiasa bercakap benar, bertanggungjawab dengan apa yang diperkatakan, tidak menyembunyikan sesuatu yang menjadikan orang salah faham dan berkomunikasi secara bijak dalam berdakwah dan bersosial.
"Meskipun kita tidak popular dengan sensasi, tetapi inilah yang sebenarnya menjadi asas kepercayaan, penghormatan serta tarikan kepada dakwah yang kita sampaikan. Kata pujangga: Beribu kali kita bercakap kebenaran, orang mudah terlupa, tetapi sekali kita bercakap pembohongan, orang muda ingat sampai bila-bila," Katanya.
Praktis beretika
Marilah kita memulakan praktis secara lebih beretika untuk mendapatkan maklumat dalam internet agar ia menjadi transaksi ilmu yang dikira sebagai ibadah. Antaranya:
Hendaklah kita biasakan diri dengan merujuk maklumat dan ilmu daripada laman web yang diyakini autoritinya sahaja, seperti pengenalan .edu, .gov atau sebagainya berbanding viral yang disebarkan secara bebas tanpa identiti yang diyakini.
Hendaklah kita menganggap diri seorang murid dengan adabnya yang betul ketika mendapatkan maklumat daripada internet, agar terhasil suasana barakah dan menghasilkan manfaat ilmu. Pilihlah guru yang dikenali dan diketahui kesahihannya sahaja.
Elakkan daripada mengunjungi sumber maklumat di alam siber yang berbentuk forum bebas, blog, Facebook atau laman hos bebas kecuali benar-benar kita mengenali autoriti penyedianya.
Dalam konteks jaringan sosial di alam siber seperti menerusi Facebook, Twitter, WeChat, Aplikasi WhatsApp, chatting dan emel menuntut praktis secara lebih beradab untuk mencapai status ibadah berkomunikasi dan silaturahim yang memenuhi tuntutan hablun minannas.