BACAAN QURAN

Listen to Quran

Saturday, 7 January 2017

KENAPA BUKAN ORANG LAIN?

KENAPA bukan orang lain?

Bila ditimpa musibah, ramai yang bertanya, “Kenapa saya?”
Pernah dengar nama Nick Vujicic, lelaki yang berasal dari Australia? Beliau dilahirkan tanpa tangan dan kaki. Jika anda pernah membaca kisah beliau, saya rasa kita patut malu kalau bertanya “Kenapa saya” apabila ditimpa sesuatu musibah. Walaupun tiada tangan dan kaki, beliau mampu melakukan aktiviti fizikal seperti berenang, menyelam dll. Dari segi akademik, beliau berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang perdagangan (akauntasi dan perancangan kewangan) pada usia 21 tahun. Adakah ujian yang kita lalui lebih teruk daripada beliau?
Kenapa SayaBertanya “Kenapa saya” tidak akan membawa kita kemana-mana. Kita akan tersekat di situ, biasanya tiada jawapan yang akan diterima. Jika ada pun, adakah ia akan mengubah perkara yang telah berlaku dan keadaan yang dialami? Kita sepatutnya bertanya apa tindakan yang kita akan ambil. Apa yang dapat dipelajari daripadanya. Jika keadaan memerlukan, apa yang boleh dilakukan sekarang untuk membuat keadaan menjadi lebih baik.
Jika ingin hidup bahagia, jangan merungut bahawa tiada keadilan dalam kehidupan ini. Allah tidak akan menguji hamba-Nya melainkan mengikut tahap kemampuannya.
“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya… ( Al-Baqarah, Ayat 286)
Kita perlu ingatkan diri kita bahawa ujian itu adalah hadiah dari Allah. Dengan ujian kesusahan, dosa-dosa kita akan diampunkan.
“Tidaklah seorang muslim tertimpa suatu penyakit dan sejenisnya, melainkan Allah akan mengugurkan bersamanya dosa-dosanya seperti pohon yang mengugurkan daun-daunnya.” HR Bukhari dan Muslim.
Marilah kita sama-sama muhasabah diri, mungkin sebelum ini kita pernah bersangka buruk terhadap Allah pada saat kita diuji. Mulai saat ini, marilah kita mengubah penerimaan kita ujian yang diberikan sebagai hadiah dari Allah untuk membersihkan dosa-dosa kita.

PENGIKTIRAFAN MANUSIA,PERLUKAH DICARI?

PERLUKAH PENGIKTIRAFAN MANUSIA?

Baru-baru ini diviralkan berita tentang Unesco telah memberi pengiktirafan Islam sebagai agama yang paling aman di dunia. Ramai daripada kita yang merasa seronok dengan berita tersebut. Apa tidaknya, selama ini Islam ditohmah sebagai agama yang menggalakkan keganasan. Walaupun ramai dari kalangan orang Islam yang menafikan Islam menggalakkan keganasan, namun kebanyakan orang bukan Islam tidak mempercayainya. Kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana banyak keganasan yang berlaku di dunia hari ini dikaitkan, oleh media arus perdana, dengan orang Islam. Justeru, kata orang, pengiktirafan Unesco sedikit sebanyak membantu menguraikan salah faham tersebut. Tetapi perlukah kita kepada pengiktirafan tersebut?
Begitu juga apabila terdapat berita tentang selebriti yang memeluk Islam. Kita sangat seronok bila mendengar berita tersebut. Tidak salah untuk merasa gembira apabila terdapat hamba Allah yang diberi hidayah untuk memeluk agama Islam. Tetapi adakah kita merasa gembira kerana seolah-olah selebriti berkenaan telah memberi pengiktirafan bahawa Islam adalah agama yang benar.
al-Maaidah-ayat-3Apakah dengan pengiktirafan manusia baru kita benar-benar yakin bahawa Islam adalah agama yang benar. Jika itu yang terlintas di fikiran, mari kita sama-sama beristighfar; Astaghfirullahaladzim. Cukuplah dengan pengiktirafan daripada Allah:
“… Pada hari ini telah Aku sempurnakan untukmu agamamu, dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Aku redhai Islam sebagai agama bagimu …” – Surah Al-Maaidah, Ayat 3.
Dalam hal kehidupan kita yang lain, tidak kurang daripada kita yang bergantung kepada pengiktirafan orang lain. Mengikut teori hierarki keperluan Maslow, semua manusia mempunyai keperluan untuk rasa dihormati, diterima dan dihargai oleh orang lain, dan keperluan yang paling tinggi adalah aktualisasi diri, iaitu mencapai potensi penuh diri. Sebagai contoh, ada individu yang mempunyai keinginan tinggi untuk mendaki Gunung Everest.
Aktualisasi diri yang sebenar bukan sekadar mencapai sesuatu untuk diri sendiri. Aktualisasi diri sebenar adalah apabila kita menyerah diri kita kepada matlamat yang lebih besar di luar diri kita, iaitu untuk maslahah ummah.
Apabila kita mengerjakan amal kebajikan, memberi sedekah, membuat kerja amal dan sebagainya; adakah kita mengharapkan pengiktirafan manusia? Jika kita ingin mendapat pengiktirafan manusia, kita belum mencapai aktualisasi diri. Kita telah sedia maklum siapa manusia yang paling baik, justeru kita tidak perlu kepada pengiktirafan lain:
Mafhum sabda Rasulullah s.a.w, “Sebaik-baik manusia ialah mereka yang paling bermanfaat bagi manusia lain.” – HR Ahmad.

TANPA BARAKAH USAHA AKAN JADI SUSAH

TANPA BARAKAH USAHA AKAN JADI SUSAH

Anda telah berusaha sebaik mungkin, anda telah menggunakan konsep SMART dalam menetapkan matlamat seperti disarankan oleh pakar. Apa yang dirancang dilaksana, sebarang penyimpangan daripada perancangan diperbaiki. Namun matlamat yang diharapkan masih belum dicapai.
Antara punca yang sering dianggap penyebab matlamat tidak dapat dicapai adalah kekurangan sumber dan kesuntukan masa. Mereka yang terlibat dengan pengurusan projek telah biasa dengan kekangan tiga serangkai iaitu skop, masa dan kos. Jika terdapat pertambahan perkara (skop) yang hendak dilaksana, masa dan kos akan turut bertambah. Jika skop dikekalkan tetapi masa ingin dipendekkan, ia akan melibatkan pertambahan kos.
Bagaimana untuk melakukan lebih dengan sumber dan masa yang sedikit, atau dengan kata lain lebih produktif?
Jika kita dapat mencapai sasaran yang ditetapkan, malah lebih banyak, dengan sumber dan masa yang sedikit, ia sudah tentu merupakan rahmat Allah atau barakah.
Jika ditanya apa sebenarnya barakah? Secara ringkasnya, sesuatu yang mempunyai barakah atau berkat akan bertambah, berkembang, berterusan dan stabil.
Menurut seorang pendakwah terkenal, barakah adalah kurniaan kebaikan daripada Illahi ke atas sesuatu. Jika ia pada sesuatu yang sedikit, ia akan meningkatkannya, jika pada sesuatu yang banyak, ia memberi manfaat. Dan hasil terbesar barakah dalam segala sesuatu adalah menggunakan barakah tersebut untuk mentaati Allah SWT.
Saya percaya dan yakin kita boleh perolehi barakah jika kita berusaha untuk mendapatkannya. Ada banyak usaha yang boleh kita lakukan untuk mendapat barakah daripada Illahi agar usaha kita mendatangkan hasil yang diharapkan. Berikut saya senaraikan tujuh amalan yang boleh dilakukan untuk mendapat barakah:
1. Niat Yang Baik
Jika anda ingin mendapat barakah bagi perkara yang diusahakan, pasang niat yang baik untuknya, iaitu dilakukan kerana Allah. Lihat semula definisi barakah, jika kita lakukan sesuatu bukan kerana Allah, perkara yang kita usahakan tidak akan mendapat kurniaan kebaikan daripada-Nya.
“Sesungguhnya seluruh amal itu tergantung kepada niatnya, dan setiap orang itu (akan memperolehi berdasarkan ) untuk apa diniatkannya….” – Hadith Rasulullah SAW, riwayat Bukhari dan Muslim.
2. Solat Istikharah
Sebelum anda membuat apa-apa keputusan, mohon petunjuk daripada Allah. Hanya Allah yang tahu apa yang baik untuk kita. Terdapat kebaikan dalam perkara yang kita anggap buruk dan terdapat keburukan untuk kita dalam perkara yang kita anggap baik. Solat Istikharah merupakan kaedah hebat yang Allah anugerah kepada kita sebagai cara untuk memohon petunjuk dari-Nya dalam apa-apa perkara yang hendak kita lakukan.
Jabir bin ‘Abdullah radhiallahu’ anh, berkata, “Rasulullah SAW pernah mengajarkan Istikharah kepada kami dalam segala urusan, sebagaimana baginda mengajar kami surah dari al-Qur’an. Maksud Sabda Baginda:
“Jika salah seorang di antara kalian berkeinginan untuk melakukan sesuatu, hendaklah dia mengerjakan solat dua rakaat yang bukan solat fardu kemudian membaca doa:
“Ya Allah, sesungguhnya aku memohon petunjuk kepada-Mu dengan ilmu-Mu, memohon ketetapan dengan kekuasaan-Mu, dan aku memohon kurniaan-Mu yang sangat agung kerana sesungguhnya Engkau berkuasa sedang aku tidak berkuasa sama sekali, Engkau mengetahui sedangkan aku tidak, dan Engkau yang mengetahui hal yang ghaib. Ya Allah, jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini (lalu menyebutkan secara langsung urusan yang dimaksudkan) lebih baik bagi diriku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan: baik dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang – maka tetapkanlah ia bagiku dan mudahkanlah ia untukku. Kemudian, berikan barakah kepadaku dalam menjalankannya. Jika Engkau mengetahui bahawa urusan ini buruk bagiku dalam agama, kehidupan dan akhir urusanku – atau mengucapkan: buruk dalam waktu yang dekat mahupun yang akan datang – maka jauhkanlah urusan itu dariku dan jauhkanlah aku darinya, serta tetapkanlah yang baik itu bagiku di mana pun kebaikan itu berada. Kemudian, jadikanlah aku orang yang redha dengan ketetapan tersebut.”
3. Bangun Awal Pagi
Doa Rasulullah untuk ummat baginda yang bangun awal pagi: “Ya Allah berkatilah umatku selama mereka senang bangun Subuh.” (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Ahmad dan Ibnu Majah).
Bangun awal pagi merupakan langkah yang penting ke arah mencapai rahmat Allah SWT dan tetap bertenaga di sepanjang hari. Saya cadangkan bangun sejam sebelum Subuh dan gunakan masa tersebut untuk memulakan hari anda. Jika ini adalah terlalu sukar bagi anda, maka sekurang-kurangnya bangun untuk Subuh dan jangan tidur sehingga matahari naik. Waktu awal pagi penuh dengan barakah, seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Baihaqi, diceritakan bahawa ketika Rasulullah pulang dari solat Subuh di Masjid Nabawi, baginda mendapati puteri baginda, Fatimah, masih tidur.
Baginda dengan lemah lembut menggerakkan Fatimah sambil berkata, ”Wahai anakku, bangunlah, saksikan rezeki Tuhanmu dan janganlah kamu termasuk orang yang lalai kerana Allah memberi rezeki kepada hamba-Nya, antara terbit fajar dengan terbit matahari.”
Saya juga cadangkan anda untuk awal ke tempat kerja kerana anda boleh menyelesaikan lebih banyak perkara pada waktu awal pagi berbanding dengan sepanjang hari.
4. Jujur Dalam Perniagaan (Urusan)
Untuk semua peniaga; peniaga konvensional, pengusaha MLM atau jualan langsung, perniagaan atas talian (online business), dll. Kita tidak seharusnya menganggap berbohong atau menipu akan membuat kita mendapat keuntungan lebih. Sebaliknya ia akan menghapuskan barakah daripada perniagaan kita. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Pembeli dan penjual mempunyai pilihan untuk membatalkan atau mengesahkan tawaran itu kecuali mereka telah berpisah, dan jika mereka bercakap benar dan memberitahu tentang kecacatan barang itu, maka mereka akan diberkati dalam urusan mereka, dan jika mereka berdusta dan menyembunyikan beberapa fakta, tawar-menawar mereka akan kehilangan rahmat Allah.” – Riwayat Bukhari.
Ya, ia adalah sukar untuk jujur apabila anda cuba untuk menjual sesuatu, kadang-kadang kita suka menyatakan perkara yang tidak benar agar pembeli percaya dengan kelebihan produk kita. Jujurlah dalam perniagaan atau sebarang urusan, percayalah ianya berbaloi.
5. Bersyukur Kepada Allah
Syukur membawa kepada lebih banyak nikmat Allah. Allah SWT berfirman dalam Surah Ibrahim Ayat 7, yang bermaksud:
“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan, “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.”
Jika diteliti, perkataan digunakan untuk mengesahkan bahawa Allah akan memberi nikmat kepada orang yang bersyukur adalah dalam bentuk sumpah – “La azidannakum”. Allah berjanji akan menambah kebaikan dan nikmat kepada orang yang bersyukur, dan Allah tidak pernah memungkiri janji-Nya.
Cuba renungkan, adakah kita bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan? Adakah kita bersyukur dengan nikmat harta atau kesenangan, kesihatan, penglihatan, pendengaran dan panca indera lain, intelektual, kehidupan, dll?
6. Bersedekah atau Kerja Amal
Allah SWT berfirman di dalam hadits Qudsi: “Hai anak Adam, infaklah (nafkahkanlah hartamu), nescaya Aku akan memberikan nafkah kepadamu.”
Apabila anda terasa sesak, atau terasa kehilangan keberkatan hidup dan ingin segera pulih, cara yang paling cepat adalah dengan bersedekah.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa ingin doanya terkabul dan dibebaskan dari kesulitannya hendaklah dia mengatasi (menyelesaikan) kesulitan orang lain.” – Riwayat Ahmad.
Ada orang yang berkata, “Saya dah banyak memberi sedekah tetapi saya tidak nampak hasilnya.” Tidakkah kita percaya dengan janji Allah? Mungkin kita perlu semak balik niat kita ketika memberi sedekah. Untuk apa kita bersedekah? Adakah untuk mendapat redha Allah atau kerana ingin dipuji atau mendapat publisiti?
7. Memohon Keampunan Allah
Ucaplah “Astaghfirullah, astaghfirullah,” (aku memohon keampunan daripada Allah SWT) sebanyak yang mungkin. Antara kelebihan amalan istighfar ialah diperkenankan segala permintaan dan dimakbulkan hajat oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, nescaya Allah menjadikan untuk setiap kesedihannya kelapangan dan untuk setiap kesempitannya jalan keluar, dan akan diberi-Nya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka.” – Riwayat Abu Daud.
Banyak lagi amalan yang boleh dilakukan untuk mendapat barakah daripada Illahi. Saya berharap para pembaca boleh menambah kepada senarai di atas melalui ruangan komen. InsyaAllah dengan perkongsian tersebut, kefahaman kita tentang perkara yang dibincang akan bertambah dan memberi manfaat hendaknya.